Belang Bertempat

Eksekutif, Legistatif, Kehakiman: Pedih disekolahkan Isham Jalil

ISU membabitkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nazlan Mohd Ghazali dengan konspirasi pendakwaan terpilih ke atas Najib Razak dalam kes 1MDB mengundang kegusaran banyak pihak khususnya berkaitan dengan badan kehakiman negara.

Pada hemat Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan terhadap Hakim Nazlan merupakan serangan daripada agensi eksekutif terhadap badan kehakiman.

Susulan itu, Ketua Penerangan Barisan Nasional Negeri Selangor, Isham Jalil tampil pencerahan menerusi catatan peribadi beliau berhubung perkara tersebut.

Berikut adalah catatan Isham yang dikongsi dengan pembaca:

YB, badan kehakiman adalah termasuk dalam perkhidmatan badan awam. Dan hakim juga termasuk dalam pegawai badan awam. Dalam Akta SPRM pun disebut jika hakim terima rasuah, dia boleh disiasat dan didakwa. Ahli Parlimen pun sama.

Dalam bahasa mudah, takkanlah bila hakim terima rasuah, dia tidak boleh disiasat atau didakwa dan terlepas begitu sahaja sebab bila disiasat, itu kononnya adalah “campurtangan” eksekutif dalam kehakiman?

Kalau ikut logik YB ini, adakah jika Ahli Parlimen disiasat rasuah maka itu adalah “campurtangan” eksekutif ke atas Parlimen (legislatif) pula? Saya rasa YB keliru.

Sebaliknya, jika ada dakwaan rasuah, hakimlah yang sepatutnya perlu disiasat dengan lebih ketat dan terperinci untuk menjaga nama baik dan reputasi badan kehakiman negara.

Sebab jika hakim terima rasuah atau membawa persepsi begitu maka rakyat tidak akan percaya kepada hakim dan sistem kehakiman.

Bila ini berlaku undang-undang akan menjadi sukar untuk ditegakkan dan kepercayaan rakyat untuk mendapat keadilan di mahkamah akan runtuh. Jika ini terjadi, negara akan jadi kucar kacir.

Mengikut perlembagaan, pembahagian kuasa antara tiga cabang kerajaan iaitu Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman tidak tertakluk kepada hal-hal jenayah termasuk rasuah.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Malah pembahagian kuasa ini dibuat dengan tujuan untuk menyemak-imbang antara satu sama lain. Contohnya, jika Eksekutif buat salah atau terkhilaf, Kehakiman boleh semak dan sebaliknya jika hakim terima rasuah, Eksekutif boleh siasat. Takkan nak suruh hakim siasat diri mereka sendiri bila kawan mereka dituduh rasuah? Itu bukan kerja mereka dan ia tidak masuk akal.

Bacalah sikit pasal Perlembagaan dan pembahagian kuasa ini. Ada banyak buku yang saya boleh cadang: Locke, Montesquieu atau Dicey. Itu baru basic.

Harap YB faham akan hal ini dan tidak keliru lagi. Anwar pun sama. Salam. – ISHAM JALIL –

(Visited 1,019 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button