Belang Bertempat

Apa benarkah… Darurat batal senyap-senyap?

SEMALAM sesi Sidang Khas Dewan Rakyat bermula dan persoalan yang ditimbulkan oleh Ahli-Ahli Parlimen pembangkang ialah adakah pembatalan darurat senyap-senyap oleh kerajaan, sah?

ISHAM JALIL

Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Negeri Selangor, Isham Jalil berkongsi pandangannya dengan menyatakan, dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 150 (3) disebut:

“Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen.

“Jika tidak terlebih dahulu dibatalkan, hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis yang mengungkaikan Proklamasi atau ordinan itu,” katanya.

Akan tetapi, sambung Isham, “tanpa menjejaskan apa-apa jua yang dilakukan sebelumnya menurut kuasa Proklamasi atau ordinan itu atau tanpa menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan suatu Proklamasi baru di bawah Fasal (1) atau memasyhurkan apa-apa ordinan di bawah Fasal (2B).”

Ada dua perkara material (penting) di sini, ujar Isham lagi. Pertama, “Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen.”

Ini merujuk kepada pengisytiharan darurat dan ordinan-ordinan darurat yang perlu dibentang (oleh itu dibahas dan diluluskan) di Parlimen, kata Isham lagi.

“Kedua, dan, jika tidak terlebih dahulu dibatalkan, hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis yang mengungkaikan Proklamasi atau ordinan itu.

“Tetapi tanpa menjejaskan apa-apa jua yang dilakukan sebelumnya menurut kuasa Proklamasi atau ordinan itu atau tanpa menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan suatu Proklamasi baru di bawah Fasal (1) atau memasyhurkan apa-apa ordinan di bawah Fasal (2B),” kata Isham.

 

Tambah beliau, ini merujuk kepada pengungkaian (atau penarikan-balik atau pembatalan) proklamasi darurat tersebut, di mana jika ia dibatalkan maka Majlis Parlimen tidak perlu lagi membahas untuk mengungkaikannya.

Inilah yang cuba dibuat oleh Kerajaan semalam iaitu supaya Parlimen tidak perlu bahas dan undi untuk batalkan darurat apabila kerajaan telah batalkan terlebih dahulu, jelas beliau.

Namun demikian, pada hemat Isham lagi, ada dua perkara yang masih menjadi masalah kepada kerajaan sekarang berkenaan hal ini:

PERTAMA, keperluan utama perkara dalam Perlembagaan di atas iaitu pembentangan proklamasi dan ordinan darurat masih tidak dibuat di Parlimen.

Namun Kerajaan akan kata, sebab darurat telah dibatal buat apa hendak bentang lagi proklamasi? Namun demikian mereka tidak boleh lepaskan diri semudah itu. Mereka masih perlu bentang.

Ini kerana pembatalan darurat oleh kerajaan tidak menjejaskan apa-apa yang dilakukan sebelumnya iaitu semasa darurat. Oleh itu mereka masih perlu bertanggungjawab ke atas tindakan-tindakan mereka semasa darurat kepada Parlimen.

Jika tidak, ia akan membuahkan suatu ketetapan baru (atau precedent) yang bahaya iaitu kerajaan boleh isytihar darurat. Kemudian tidak perlu bentang di Parlimen untuk kelulusan proklamasi atau ordinan.

Kemudian buat sesuka hati atau salah guna kuasa, dan kemudian batalkan darurat sebelum perlu bentang atau jawab di Parlimen. Dan bila YDP Agong tegur, mereka (kerajaan) kata Agong perlu ikut nasihat mereka, kata Isham.

“Dalam hal ini, tidak ada langsung kebertanggungjawaban dan semak imbang. Ini bukanlah apa yang penulis-penulis Perlembagaan maksudkan semasa Perlembagaan ini ditulis semasa Merdeka,” katanya lagi.

Kedua, kata Isham, siapa yang sebenarnya ada kuasa untuk membatalkan darurat? Adakah jemaah menteri dan Perdana Menteri boleh batalkan sendiri? atau adakah mereka perlu menghadap YDP Agong berkenaan hal ini?

Dan bolehkah Perdana Menteri yang tidak tentu sokongan majoriti ke atasnya oleh itu tidak pasti kesahihannya terus menasihati Agong dan menggunakan sumber-sumber kerajaan?

“Inilah persoalan-persoalan yang perlu dijawab dan ditentukan iaitu kesahihan Perdana Menteri yang telah membelanjakan beratus billion wang rakyat tetapi gagal menangani Covid-19 dengan keadaan wabak menjadi semakin buruk.

Soal Hisham lagi, adakah kita mahu benar dia terus belanjakan lagi beratus bilion untuk Bajet 2022 pula?

“Keadaan negara dan rakyat kini amat teruk sekali dalam menghadapi wabak Covid-19 ini di tangan kerajaan yang tidak cekap dan hanya gigih berpolitik untuk mengekalkan kuasa.

“Dasar-dasar kerajaan terbukti telah gagal untuk menangani wabak ini malah menjadikannya semakin teruk. Untuk ubah keadaan ini segera, kita perlu ubah dasar-dasar ini segera.

“Dan kita tidak boleh harap orang atau menteri yang sama untuk ubah dasar-dasar gagal yang mereka buat sendiri. Contohnya, dalam jawatankuasa pengurusan rumah kelompok, flat, kondominium dan sebagainya.

“Jika pihak pengurusan yang dipilih berprestasi buruk, sampah tidak dikutip, pencuri selalu masuk, longkang tersumbat, kekotoran merata-rata, kita tukar pengurusan tersebut segera, bukannya biarkan ia berterusan,” katanya lagi.

Dan kita tidak kata, “Takpalah, pihak pengurusan tidak gagal, mereka hanya masih belum berjaya”. SM

(Visited 278 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button