Nasionalpilihan

Hentikan ‘politiking’ dan fokus kepada isu Covid-19

‘Politiking’ perlu dihentikan dan semua pihak perlu fokus kepada muafakat dan usaha untuk memenangi perang mengawal penularan Covid-19 dalam negara.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya amat menghargai pandangan Yang di-Pertuan Agong berkenaan perlunya kerajaan yang stabil dan kukuh.

Selain itu, pandangan yang dizahirkan Agong juga menurut beliau perlu dipandang serius khususnya  melibatkan persidangan Parlimen yang perlu diadakan secepat mungkin.

“Inilah yang sedang diusahakan agar kita dapat segera keluar daripada permasalahan yang berpunca akibat Covid-19.

“Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang baru diumumkan turut dibayangkan bahawa Parlimen mungkin boleh bersidang seawal September atau Oktober ini.

“Kerajaan dan rakyat perlu memberikan segala tumpuan dan keutamaan bagi menjayakan PPN ini.

“Sudah pasti urusan persidangan Parlimen perlu dilakukan dengan mematuhi peruntukan undang-undang, perlembagaan serta peraturan-peraturan persidangan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-​Mustafa Billah Shah sebelum ini menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Baginda bertitah bahawa parlimen adalah satu platform penting untuk wakil-wakil bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan Covid-19.

Dalam pada itu, Annuar turut bersetuju bahawa program vaksinasi amatlah penting untuk disegerakan.

“Disebabkan inilah pelan vaksinasi disemak semula dan ‘Accelarated Vaccination Programme’ telah diperkenalkan.

“Program itu memberi sasaran 80% populasi dapat divaksinkan dan imuniti kelompok dapat dicapai. Disesetengah kawasan, ini boleh dicapai seawal Julai atau Ogos depan,” katanya.

Tambahnya, beliau yakin kerajaan akan memberi perhatian kepada semua pandangan yang telah dizahirkan dan akan bertindak mengikut undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan. -SM

(Visited 151 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button