Belang Bertempat

Ramai kecewa MKT tidak bertindak

RAMAI mengharapkan MKT UMNO yang bersidang tempoh hari memutuskan kehendak akar umbi agar menghentikan kerjasama dengan Bersatu di dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sedangkan mandat telah diberi kepada Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya melaksanakan apa yang dimahukan oleh akar umbi parti itu.

Kehendak sedemikian bukan sahaja dimahukan oleh ahli UMNO bahkan kini telah menjadi kemahuan majoriti rakyat negara ini.

Rakyat kecewa dengan kerajaan yang tidak absah ini memperlakukan serta memperjudikan masa hadapan mereka sesuka hati terutama dalam menjarah wang tabungan untuk masa hadapan, dek kerana gagalnya kerajaan hari ini menguruskan kewangan dan ekonomi negara serta menangani pandemik.

Lantas mata jutaan penduduk negara ini tertumpu kepada mesyuarat yang berlangsung di WTC iaitu ibu pejabat UMNO, walaupun hati kecil mereka berkata, UMNO tidak akan berani bertindak.

Ramai yang menganggap UMNO kini dipimpin oleh mereka yang bacul, kerana rakyat betul-betul mengharapkan mereka bertindak dan hanya UMNO yang mampu memperbetulkan keadaan sekarang.

Dek kerana UMNO bekerjasama dengan Bersatu dan Pas maka terbentuklah kerajaan tidak absah dan paling buruk yang pernah dilihat di negara ini.

Pelbagai muslihat digunakan bagi mengekalkan majoriti yang tipis, tanpa memperdulikan soal moral dan integriti.

Semakin lama UMNO bersekongkol dengan kerajaan berkenaan, semakin benci rakyat terhadap mereka.

Eloklah diadakan pemilihan parti, moga parti keramat bangsa Melayu itu kembali diteraju oleh mereka yang mempunyai keberanian.

(Visited 642 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button