Belang Bertempat

Formula kelirukan lawan dan kawan, tetapi kejayaan tetap dalam tangan

PUNCA utama kekalahan UMNO/BN (Barisan Nasional) tewas pada pilihan raya yang lalu kerana para pemimpinnya hidup dalam penafian dan gagal menghayati denyut nadi rakyat serta terlalu tebal dengan ego masing-masing.

Isu 1MDB diletakkan pada kedudukan ke-10 kononnya banyak lagi isu yang menjadi perhatian rakyat dan pelbagai bantuan diberikan telah mencipta rasa gembira dalam kalangan rakyat.

Sedangkan rakyat bukannya terlalu untuk bodoh bagi menyedari bahawa semua bantuan yang diberi itu adalah duit rakyat sendiri dan bukan duit yang dikeluarkan dari kantung para pemimpin politik itu sendiri dan rakyat juga tidaklah terlalu bodoh untuk tidak sedar para pemimpin politik telah dengan rakus merompak duit rakyat berkoyan-koyan.

Memang berbilion ringgit disalurkan kepada rakyat dalam bentuk subsidi dan bantuan, tetapi pada yang sama berbilion ringgit dikongsi oleh beberapa individu sahaja dalam kalangan orang politik.

Formula “cash is king” telah gagal. Jika sebelum pilihan raya berlangsung pemimpin yang rakus ini mengumumkan peletakan jawatan dan tidak bertanding, kemungkinan besar nasib parti orang Melayu terbesar itu lebih baik.

Setelah kalah parti serpihan UMNO iaitu Bersatu telah menghulurkan tangan dengan kerjasama Pas bagi menarik UMNO dari jurang kehancuran.

Selepas 22 bulan, UMNO diberi nafas baharu. Setelah menjadi kerajaan dengan berkongsi kuasa dengan Pas serta Bersatu, kini UMNO seperti biasa bersikap “kacang lupakan kulit” menuduh Pas dengan pelbagai tuduhan dan melabel bersatu sebagai pembelot.

Mereka yang berada di dalam kabinet pula dituduh sebagai gilakan kuasa. Lantas Pas dipaksa bercerai dengan Bersatu dan para menteri melepaskan jawatan dengan membubarkan Dewan Rakyat segera kerana kononnya kemenangan akan dicapai jika pilihan raya diadakan pada tahun ini.

Kononnya pembangkang kini tidak mempunyai isu dan keadaan ekonomi yang lebih buruk tahun hadapan akan memberi kesan tanggapan rakyat terhadap kerajaan.

Tanpa mereka sedari tanggapan rakyat terhadap rakyat sejak selepas pilihan raya lalu tidaklah terlalu baik mahupun kerajaan Pakatan Harapan atau Perikatan Nasional.

Namun sekurang-kurangnya rakyat tidak terlalu tertekan pada masa ini apabila dasar kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meneruskan kesinambungan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Apa yang penting kini bukannya memastikan rakyat gembira dengan pentadbiran kerajaan hari ini, tetapi kerajaan perlu memastikan rakyat tidak mempunyai alasan untuk menolak mereka pada pilihan raya.

Sikap pemimpin UMNO yang terlalu banyak bermain politik dan sering mengganggu kelancaran pentadbiran negara akan menjadi punca mengapa parti itu ditolak.

Rakyat majoriti telah serik dengan kerajaan PH yang memerintah selama 22 bulan kerana mereka bertindak ibarat “beruk mendapat bunga” semuanya mahu diubah atas dasar mahu menghapusan legasi UMNO.

Mana mungkin legasi UMNO mahu dihapus sekelip mata kerana parti itu adalah parti orang Melayu terbesar dan telah memerintah negara ini puluhan tahun.

Orang Melayu satu-satu bangsa di dunia ini yang satu bangsa dan menganut agama yang sama iaitu Islam. Jadi apabila kepentingan Melayu dan Islam disentuh, ia ibarat “menjolok sarang tabuan”.

Orang Melayu memang bangsa yang lembut dan kelembutan itu sering ditafsir sebagai kelemahan. Namun lemah lembut dan gemalai itulah kekuatan orang Melayu.

Jadi formula yang mudah ialah Pas, UMNO dan Bersatu perlu bekerjasama secara langsung atau tidak langsung pada pilihan raya akan datang. Pakatan harus disusun sebelum pilihan raya lagi kerana apabila keputusan pilihan raya telah diumumkan baru pakatan mahu dibentuk ia sudah terlambat.

Biar Pas, UMNO dan Bersatu kelihatan bergaduh, tetapi ia harus di peringkat luaran sahaja, pada dasarnya ia masih lagi kukuh dan apabila tiba masanya ketiga-tiga parti ini akan bertaut kembali.

Ini barulah tahap permainan politik tertinggi yang mengelirukan kawan dan lawan.

(Visited 835 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button