fbpx
Belang Bertempat

Biar rakyat menilai

BELANG berpendapat keputusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengagihkan peruntukan yang sama rata bagi ahli parlimen termasuk pembangkang adalah keputusan yang wajar dan saksama.

Tidak timbul soal keputusan itu mahu membunuh Barisan Nasional (BN) sebagaimana dakwaan Datuk Tajuddin Rahman.

Sepatutnya parti yang kecil seperti Bersatu dipimpin perdana menteri yang paling terjejas, kerana bukan sahaja baharu, bahkan akar umbinya adalah belum cukup kuat.

Namun Muhyiddin tetap membuat keputusan itu walaupun menyedari risiko berkenaan ada demi kepentingan rakyat dan negara.

Akhirnya rakyat akan menilai apakah wakil rakyat yang dipilih oleh mereka berkhidmat untuk rakyat, atau hanya mementing tembolok sendiri dan kroni sahaja.


Dengan peruntukan yang cukup ia memudahkan wakil rakyat untuk membantu para pengundinya, apatah lagi dalam keadaan gawat politik dan ekonomi dewasa ini.

Jadi selepas ini wakil rakyat pembangkang tidak lagi boleh memberi alasan tidak mempunyai peruntukan untuk membantu rakyat.

Bagi wakil rakyat yang berjiwa rakyat dan memang mahu berkhidmat, mereka akan menggunakan peluang ini sebaik mungkin, dan bagi mereka yang tak dan haloba mereka akan membolot peruntukan ini untuk mengkayakan diri sendiri.

Pemimpin kerajaan tidak perlu terlalu bimbang dengan dasar dibuat oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana selaku kerajaan mereka mempunyai kelebihan untuk menyantuni rakyat.

Pelbagai agensi kerajaan dapat digunakan untuk melaksanakan program untuk kebaikan rakyat dan akhirnya akan memberi pendedahan berkepentingan politik kepada mereka.

Belang bukan mahu mengajar apakah kaedah untuk berpolitik, kerana tahu orang politik lebih cekap dalam hal yang menjadi makan serta minum harian mereka.

Cuma Belang mahu mengingatkan supaya mereka mencampak sifat tamak dan mementingkan diri sendiri jauh-jauh apabila dipilih menjadi wakil rakyat, atau sebaliknya rakyat akan mencampak mereka jauh-jauh pada pilihan raya akan datang.

Show More

Related Articles

Back to top button