Belang Bertempat

Perikatan Nasional berjagalah datangnya `si talam dua muka’

BELANG sedikit teruja mahu selami bagaimana sebuah gabungan politik baharu seperti Perikatan Nasional (PN) boleh bangkit menjadi kerajaan.

Meskipun ada dakwaan `nakal’ mengatakan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah `sailang’ atau `selekoh’ Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Februari tahun ini, sebelum angkat sumpah Perdana Menteri ke-8 pada 1 Mac lalu, Belang mahu tidak mahu kena akui hal yang satu ini.

Yakni, bahawa bangsa Melayu mesti diletakkan di bawah sebuah parti atau gabungan Melayu yang berkuasa.

Begitupun keterujaan Belang tak sampai ke puncaknya bila mana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menjadi tonggak PN secara tiba-tiba membuka keahliannya kepada bukan Melayu.

Belang bukanlah rasis, tetapi Bersatu inipun terbentuk atas nama “pribumi’, justeru agak janggal diperkenalkan “ahli bersekutu” untuk menerima bukan Melayu ini.

Sungguhpun begitu halnya, Belang masih meyakini PN ataupun gabungan yang satu lagi, Muafakat Nasional (MN) perlu diperhidupkan untuk survival orang Melayu.

Cuma Belang harus peringatkan perkara yang cukup-cukup penting ini iaitu hindari atau elakkkan penyakit talam dua muka atau gunting dalam lipatan.

Dalam peribahasa Melayu sering didengar tiga perkataan ini dipadankan dengan ‘musuh dalam selimut’ dan `duri dalam daging’. Semua ini membawa pengertian sama – musuh yang muncul dari orang dalam kita sendiri.

Tak perlu pergi jauh. Baca sejarah kisah pembelotan Si Kitol yang sering diperdengarkan dari satu generasi ke satu generasi.

Catatan ketua panglima Portugis, Alfonso di Alburqueque sendiri menyebut, setelah Kota Melaka dikalahkan, Portugis merampas 3,000 pucuk meriam. Katanya, itu baru separuh daripada meriam milik Melaka.

Maknanya kota itu sudah ada 6,000 pucuk meriam ketika itu dan ini adalah cerita 500 tahun dahulu. Ada cerita menyebut, orang Portugis terjumpa satu benda ajaib di istana Melaka. Bila dipandang objek tersebut, muncullah muka manusia di dalamnya.

Apabila diteliti balik, muka manusia itu adalah muka orang yang memandang. Rupa-rupanya objek itu adalah cermin. Tetapi orang Portugis baru kali pertama melihatnya.

Jadi, siapakah yang kuno dan siapakah yang lebih bertamadun? Kalau orang Melaka sudah bertamadun lebih tinggi daripada Portugis, kenapa pula boleh jatuh ke tangan Barat? Kerajaan yang begini hebat di Nusantara hanya boleh ditewaskan oleh gabungan tentera-tentera Portugis, kerajaan-kerajaan kecil di Sumatera dan Jawa, askar-askar upahan dari Goa, Jawa dan Siam.

Ini ditambah dengan pembelot dan pengkhianat dalam daripada para pedagang asing dan kalangan orang Melayu sendiri. Melaka jatuh bukan kerana orang Melayu kuno, malas.

Dari dahulu lagi Melaka sudah memiliki meriam-meriam besar, pemuras, istinggar dan lain-lain senjata api. Melayu juga sudah mengenal apa itu baju besi dan sudah mahir menempa baju besi untuk kegunaan ketenteraan. Mereka yang memilih untuk berlawan dengan keris, tombak dan lembing pula bukan calang-calang orang.

Ada cerita lama orang tua-tua Melayu menyebut kebanyakan kapal yang menyerang Kota Melaka sebenarnya bukan milik Portugis tetapi Melayu, kapal angkatan laut Melaka juga.

Satu laporan Portugis pula menyebut mereka ada ternampak sebuah angkatan laut yang dikenalpasti milik orang Melayu sedang disediakan untuk menyerang dari satu tempat di perairan Melaka.

Mungkin benar Tun Mutahir sedang bersiap-sedia untuk merampas takhta atau ada pihak lain bertanggungjawab tetapi menuduh Bendahara pula yang ingin berlaku khianat? Yang pasti, ada pihak yang membelot. Si Kitol dan Raja Mendeliar sudah pasti. Apakah masih ada pembelot yang lain yang terlepas daripada catatan sejarah?

Kisah talam dua muka dalam politik bukanlah baharu. Tamadun Islam sejak dari dulu sering dihantui pengkhianat dalaman. Empayar Turki Uthmaniyyah yang hebat dan setelah pelbagai kegemilangan dikecap, para pemimpinnya menjadi makin lalai dan jauh dari Allah. Akibatnya, si pengkhianat mengambil alih pemerintahan dan terus mengubah wajah turki 100 peratus.

Banyak ulama dibunuh, wanita dilarang memakai tudung, pekerja tidak boleh keluar sembahyang dan waktu solat, azan tidak berkumandang, sebaliknya lagu kebangsaan dimainkan bagi menandakan masuk waktu solat. Tapi syukur Alhamdulillah Turki hari ini bangkit semula atas platform Islam.

Si talam dua muka atau gunting dalam lipatan jika dapat disingkirkan dari parti-parti politik Melayu, Insya-Allah mana-mana parti berteraskan Melayu berkenaan bisa bangkit semula.

Buat PN ataupun MN, sentiasalah jaga wakil-wakil rakyat dalam gabungan itu. Jangan bila sampai masuk gelanggang perang PRU-15, melompat pula segelintirnya ke parti lawan. Bila ditawarkan `imbuhan’, lupa diri, lupa daratan, kacang lupakan kulit dan macam-macam istilah buruknya.

Bak kata pepatah Inggeris One swallow does not make a summer (Takkanlah dek kerana seekor burung lelayang, kita merasakan musim panas sudah tiba?)

Atau peribahasa Melayu menyebut: Janganlah kerana mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan.-SM

(Visited 395 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button