Belang Bertempat

Ramalan Tok Sheikh mengenai politik Malaysia

ADA seorang Tok Sheikh di Utara tanah air yang terkenal kerana mampu melihat masa hadapan.

Selain menjadi rujukan penduduk setempat, beliau juga sering dikunjungi oleh ahli politik.

Ini termasuklah ahli politik yang sangat lanjut usianya, ahli politik yang pernah meringkuk belasan tahun dalam penjara dan ahli politik yang berdepan dengan puluhan tuduhan rasuah serta salah guna kuasa.

Selepas dibebaskan dari penjara setelah mendapat pengampunan diraja, ahli politik berkenaan berjumpa Tok Sheikh bagi mendapatkan nasihat.

Dia yang telah sekian lama mengidam menjadi perdana menteri bertanyakan Tok Sheikh, apakah beliau akan menjadi perdana menteri?

Tok Sheikh memberitahu bahawa dia akan menjadi perdana menteri.

Tiba-tiba orang lain yang menjadi perdana menteri, setelah ahli politik yang sangat berusia meletakkan jawatan.

Bekas banduan itu tidak puas hati pergi berjumpa Tok Sheikh sekali lagi dan jawapannya tetap sama.

Sekali lagi dia kecewa kerana Pak Long pula menjadi perdana menteri setelah Abah meletakkan jawatan akibat desakan banyak pihak.

Dia sekali lagi berjumpa Tok Sheikh dan jawapannya tetap sama.

Dalam pada itu pembantu ahli politik yang berdepan dengan banyak tuduhan mahkamah menasihatkannya supaya turut berjumpa dengan Tok Sheikh.

Bagaimanapun dia tidak mengendahkannya, hinggalah suatu hari seorang kiyai di Tanah Jawa menasihatkan dia berjumpa Tok Sheikh.

Tok Sheikh ketika itu tidak sihat dan dirawat di hospital. Maka bakal banduan itu bergegas ke hospital.

Tok Sheikh nasihatkan bakal banduan supaya membantu bekas banduan menjadi perdana menteri.

Mendengarkan nasihat Tok Sheikh itu, bakal banduan itu bertungkus-lumus memastikan bekas banduan menjadi perdana menteri.

Akhirnya bekas banduan menjadi perdana menteri dan bakal banduan menjadi timbalan perdana menteri.

Dalam pertemuan terakhir itu bakal banduan sempat bertanya apa nasihat Tok Sheikh kepada ahli politik yang sangat berusia sebelum ini.

Tok Sheikh memaklumkan dia hanya berdoa supaya tuhan melepaskan bebanan individu berkenaan kerana dia mengadu sudah penat dengan tekanan serta bebanan yang dipikul.

Kisah ini tiada kaitan dengan yang hidup atau yang mati. Ia hanya imaginasi penulis mengenai negara antah berantah.

 

 

(Visited 759 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button