Belang Bertempat

Zahid Presiden UMNO paling malang

DIA menjadi presiden ketika UMNO tidak lagi berkuasa.

Beliau juga dituduh oleh ahli-ahli parti sebagai gagal dan tidak melakukan apa-apa.

Dek kerana hilang kuasa beliau kini berdepan dengan tuduhan puluhan kes mahkamah.

Dia ialah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Karier awal politiknya memang cemerlang terutama ketika memikul tanggungjawab sebagai ketua pemuda.

Beliau dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri juga yang sangat berkuasa.

Pada tahun 1998 apabila dipecat dari UMNO, Anwar melancarkan gerakan reformasi dan menggerakkan demonstrasi jalanan secara besar-besaran.

Zahid turut sama dengan bosnya itu, tetapi telah melakukan pusingan U, kembali bersama kerajaan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau diberi tanggungjawab besar termasuk memegang Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.

Kegemaran Zahid adalah membantu orang membuatkan dia menubuhkan Yayasan Akal Budi dan dia kini berdepan dengan pelbagai tuduhan sekitar pengurusan kewangan yayasan itu.

Akhirnya apabila Dr. Mahathir memilih Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pengganti, Zahid dipilih sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Akhirnya apabila Barisan Nasional (BN) kalah dan tumbang, Najib meletakkan jawatan dan ia dipikul oleh Zahid.

Perhimpunan Agung tahun lalu jikalau tidak ada hamba Allah memberi sumbangan peribadi, mungkin tidak dapat diadakan di PWTC.

PWTC sendiri hampir dilelong kerana akaun UMNO dibekukan ekoran para pemimpinnya dituduh terlibat pengubahan wang haram.

Para peniaga mula membongkar premis perniagaan masing-masing dari PWTC, namun selepas merayu dan memujuk tinggallah beberapa premis yang kekal di bangunan berkenaan.

Berbulan gaji tidak dibayar menyebabkan seorang demi seorang petugas UMNO di PWTC meninggalkan pengurusan parti keramat itu.

Akhirnya hanya tinggal kerusi dan meja menjadi teman setia PWTC.

Kini PWTC kembali bernyawa setelah UMNO mendokong Perikatan Nasional (PN) bagi menggantikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tumbang.

Percakaran politik menyebabkan PN yang pada awalnya disanjung rakyat, kini menjadi bahan cercaan.

Umpat keji dan cercaan itu tidak dapat tidak turut terkena kepada Zahid selaku orang utama yang menguruskan parti utama di dalam PN.

Segala gerakan dan permainan kotor digunakan oleh kawan dan lawan bagi memburukkan nama Zahid.

Namun Zahid memilih untuk mendiamkan diri dan menjalankan kerja-kerja beliau tanpa menghebohkannya.

Dengan dokongan pemimpin seperti Najib UMNO dan Barisan Nasional kembali diterima rakyat dan satu demi satu pilihan raya kecil dimenangi sebagai bukti.

Bagaimanapun kemuncak percakaran di dalam PN berlaku apabila mereka terpaksa bekerjasama semasa Pilihan Raya Negeri Sabah tempoh hari.

Walaupun menang, kedua-dua pihak cedera parah dan turut menjadi bahan kecaman masyarakat kerana penyebab penularan wabak Covid-19.

Di tengah-tengah itu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa mempunyai jumlah cukup untuk membentuk kerajaan baharu dan kenyataan Zahid bahawa beliau tidak menghalang ahli parlimen UMNO untuk menyokong menyebabkan keyakinan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin bakal tumbang semakin tinggi.

Belang sendiri terkejut dengan kenyataan itu dan lebih gawat para pemimpin UMNO dan pegawai Zahid tidak mengetahui mengenainya.

Bagaimanapun akhirnya Zahid mengesahkan ia dikeluarkan oleh beliau.

Bagi Belang baharu Zahid berdehem sahaja bergegar kerajaan PN dan kacau-bilau, caca-merba dan bertaburan habis kawan dan lawan.

Itu menunjukkan betapa selama ini Zahid hanya menyimpan kuku beliau. Dia juga boleh bermain kasar. Dia juga boleh bermain kotor, tetapi memilih untuk tidak berbuat demikian.

Bagi meredakan situasi itu Zahid mengumumkan UMNO melaksanakan gencatan politik dan berikrar mengukuhkan kerajaan PN.

Lantaran itu beliau dituduh sebagai bermain politik kotor dan timbul pula surat sokongan kepada Anwar yang ditujukan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Setelah gencatan dilaksanakan timbul pula senarai kabinet baharu yang meletakkan beliau sebagai timbalan perdana menteri, menunjukkan seolah-olah itulah matlamat utama Zahid dan bukan kepentingan parti dan rakyat.

Zahid boleh sahaja membiarkan UMNO terus terlantar, tetapi kasihnya kepada ahli dan parti menyebabkan beliau menggadaikan reputasinya dan menjadi mangsa kecaman musuh dan ahli partinya sendiri.

Kini bila UMNO telah kembali hampir pulih mulalah timbul kumpulan gila kuasa yang bergerak dan menyusup secara perlahan.

Ketika UMNO ibarat burung botak yang luluh gugur segala bebulunya dan dihurung lalat seperti menunggu masa ajalnya, ramai yang melarikan diri.

Tetapi itulah UMNO parti keramat. Ia bukan hanya soal individu. Dalam apa juga situasinya akan ada individu seperti Zahid menjulang panji perjuangan walaupun dihempas badai dan dipukul taufan.

(Visited 1,455 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button