Belang Bertempat

Kalau Presiden UMNO bercuti dari jawatan, PRU15 lebih memudahkan

UMNO dikatakan bakal berhadapan dengan laluan yang sukar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak bercuti dari jawatan beliau.

Tun Dr Mahathir Mohamad pula mengecam ahli-ahli UMNO dan rata-rata pemimpin dalam parti serta ahli-ahlinya merasakan tidak wajar seorang tokoh negarawan bertindak begitu.

Pada PRU14, rata-rata penganalisa politik menzahirkan pandangan bahawa sekiranya Datuk Seri Najib Razak mengundurkan diri sebagai Perdana Menteri ketika itu, Barisan Nasional (BN) tidak akan kalah.

PEJUANG chairman Tun Dr. Mahathir Mohamad speaks during his visit to Felda Ayer Hitam to help campaigning for Pejuang’s candidates ahead of the state election March 03, 2022. – Picture by Hari Anggara

Pandangan ini tidak diterima oleh bekas perdana menteri, Najib Razak malahan Political Desk ataupun Meja Politik dan Penasihat-Penasihat Politik PM Najib di Pejabat Perdana Menteri pada ketika itu (sewaktu PRU14)  memberikan keyakinan kepada Najib bahawa BN-UMNO akan menang 157 kerusi Parlimen iaitu melebihi 2 per 3 kerusi Parlimen.

Walaupun pada ketika itu, gelombang mahu menjatuhkan BN-UMNO berada di paras tertinggi dengan kekuatan yang dibawa oleh Tun Mahathir di dalam satu pakatan politik yang dipanggil Pakatan Harapan (PH).


Kekuatan parti PPBM (Bersatu) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berjaya menang 12 kerusi Parlimen dan berjaya mendapatkan 10% undi orang Melayu di kerusi-kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Itu sudah cukup untuk menumbangkan BN dan UMNO.

BN-UMNO masih lagi di takuk lama… merasakan superior, kuat yang amat sangat dan tidak akan kalah.

Ini belum lagi mengambil kira perebutan kerusi Parlimen yang akan berlaku apabila Parlimen dibubarkan nanti.

Sebagai contoh, di Parlimen Rembau, Negeri Sembilan. Tok Mat Hasan bukan sahaja mahu mempertahankan kerusi DUN Rantau tetapi Tok Mat juga mahu bertanding di Parlimen Rembau tempat Khairy Jamaluddin.

Ini memperlihatkan seolah-olah akan berlaku perebutan kerusi Parlimen antara dua pemimpin besar ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Foto: FB Jabatan Perdana Menteri oleh Unit Fotografi Jabatan Penerangan Malaysia

Ini belum lagi ditempat-tempat lain perebutan kerusi Parlimen antara Ketua UMNO Bahagian dengan Timbalan Ketua UMNO Bahagian.

Parti-parti pembangkang bukannya bodoh. Mereka mempunyai strategi yang licik dan cerdik.

Sebagai contoh, sekiranya Parlimen dibubarkan bulan Oktober atau November ini, enam negeri tidak akan bubar DUN iaitu Pulau Pinang  Kedah, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan dan Selangor.

Hanya tiga negeri sahaja yang dijangka akan bubar DUN iaitu Perak, Perlis dan Pahang.

Sekiranya enam negeri ini tidak bubar, bermakna di keenam-enam negeri ini, PRU akan tertumpu kepada kerusi-kerusi Parlimen sahaja tanpa kerusi DUN.

Ia juga bermakna perebutan semakin sengit di antara penjawat-penjawat jawatan dari UMNO Bahagian masing-masing.

Ditambah pula dengan kerja-kerja melobi bahawa se-nya …. Saya orang Datuk Zahid Hamidi, Saya orang PM Ismail Sabri, Saya orang Tok Mat Hasan, Saya orang Hishammuddin dan lain-lain.

LALUAN

Strategi dan calon yang salah

Pada PRU14 yang lalu, UMNO-BN mengalami kekalahan kerana strategi dan calon-calon yang salah.

Strategi terlalu yakin akan menang (over confident) menyebabkan UMNO tumpas di beberapa negeri dan kerusi-kerusi Parlimen tradisi mereka.

Pemilihan yang salah terhadap calon-calon UMNO yang bukan lagi winnable candidate atau calon boleh menang juga menyebabkan calon-calon UMNO ditolak di banyak tempat.

Strategi menaja calon-calon PAS untuk bertanding lebih daripada 100 kerusi Parlimen juga adalah salah.

Ia bukan menyebabkan undi pembangkang berpecah dua tetapi undi orang-orang Melayu yang berpecah antara UMNO dan PAS.

Natijahnya menyebabkan parti Bersatu menang 12 kerusi Parlimen dan berjaya menubuhkan Kerajaan Baru di Putrajaya.

NOTA: (PAS sebenarnya bertanding di 157 kerusi Parlimen pada PRU14 iaitu melebihi daripada kerusi-kerusi majoriti Melayu).

Tambahan pula, isu-isu panas national seperti isu Skandal Kewangan 1MDB telah tidak diperjelaskan dengan baik dan terang.

Manakala isu Cukai Tambahan GST telah dimainkan sebagai satu isu yang amat kontroversi untuk Kerajaan BN menyebabkan rakyat mempercayai bahawa Cukai GST ini membebankan rakyat.

Kegagalan Menteri dan Timbalan Menteri Kewangan dalam menerangkan isu ini amat mendukacitakan.

Di tulisan atau entri terkini Tun Mahathir di Facebook (FB) peribadi beliau semalam, Tun M telah mengecam kesemua 3.3 juta ahli UMNO sebagai perasuah dari Ketua UMNO Bahagian, Presiden UMNO, Ahli-Ahli MKT sehinggalah kepada Ahli UMNO biasa di peringkat Cawangan.

Tun Mahathir bukan lagi ahli UMNO malahan Tun menentang UMNO secara terang-terangan supaya Kerajaan pimpinan UMNO dikalahkan dan UMNO tidak lagi menjadi Kerajaan Malaysia.

Sampai hati seorang Negarawan Negara Malaysia yang pernah menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia ke-4 menyerang Kerajaan pimpinan UMNO secara berterusan demi menjatuhkan parti UMNO.

Tun Mahathir tanpa berselindung menuduh 3.3 juta ahli UMNO, semuanya perasuah.

Tidakkah Tun Mahathir sedar, inilah satu-satunya parti Melayu yang telah mengangkat Tun sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri selama 22 tahun lamanya.

Jasa parti UMNO yang mengangkat Tun, dibakul sampahkan oleh Tun begitu sahaja.

MUKHRIZ MAHATHIR

Muslihat politik Tun Mahathir amat mudah. Pengundi negara berjumlah 21 juta orang. Pengundi ahli UMNO ada 3.3 juta orang. Ada 17.7 juta pengundi lagi, adalah bukan ahli UMNO.

Tulisan-tulisan Tun Mahathir ini bertujuan untuk memikat 17.7 juta pengundi agar menolak calon-calon UMNO dalam PRU15.

Sekiranya Tun Mahathir mengecam Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ataupun bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, ahli-ahli UMNO boleh faham perbezaan politik antara mereka.

Tetapi mengecam keseluruhan 3.3 juta ahli UMNO adalah satu tindakan yang amat keterlaluan dan dipandang sebagai satu tuduhan yang amat serius dan tidak patut dilakukan.

Persoalan yang sering ditanya oleh ahli-ahli UMNO, kalaulah semua ahli UMNO ini perasuah dan pengambil wang, cuba Tun Mahathir terangkan bagaimanakah kroni-kroni Tun menjadi kaya raya ketika Tun menjadi perdana menteri selama 22 tahun.

Nama-nama seperti Ananda Krisnan, Vincent Tan, Tan Sri Arumugam, Tan Sri Mokhzani Mahathir, Mirzan Mahathir dan lain-lain.

Bagaimana mereka mengumpulkan kekayaan mereka? Cuba Tun Mahathir terangkan kepada rakyat.

Rakyat tidak pernah cemburu kepada kekayaan yang mereka peroleh tetapi untuk Tun Mahathir melabel keseluruhan ahli UMNO sebagai perosak dan perasuah adalah satu tuduhan yang berniat jahat, tidak profesional dan memalukan.

MUKHRIZ
– Gambar BERNAMA

Tun Mahathir memusuhi UMNO disebabkan oleh beberapa individu didalam UMNO.

Dan oleh kerana UMNO tidak mahu mengangkat anaknya, Mukhriz Mahathir sebagai Naib Presiden UMNO. Sabarlah Tun!

Presiden UMNO perlu berehat. Rata-rata netizen dan rakyat merasakan negara berada di ambang PRU 15.

Pembentangan Bajet akan dibuat di Dewan Rakyat pada 7 Oktober 2022 dan tarikh yang dikatakan sebagai tarikh pembubaran Parlimen adalah pada 10 Oktober 2022 ini.

Netizen, Rakyat dan Golongan Profesional merasakan sudah tiba masanya Presiden UMNO berlapang dada dan berkorban untuk parti UMNO dan orang-orang Melayu dengan mengundurkan diri buat sementara dari politik ketika negara berhadapan dengan PRU15.

Kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional seharusnya dipangku oleh Tok Mat Hasan dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob buat sementara waktu.

Presiden perlu berundur buat sementara waktu agar rakyat dapat melihat dengan jelas bahawa pemimpin UMNO yang berhadapan dengan kes-kes jenayah di Mahkamah memberi laluan kepada barisan kepimpinan yang lain mengambil alih kepimpinan UMNO.

Ini juga akan memberi isyarat bahawa UMNO bukan sahaja mahu membersihkan parti tetapi mahu kelihatan benar-benar bersih, jujur dan ikhlas dalam memberi rakyat peluang memilih kepimpinan yang tepat untuk menerajui negara.

Sudah sampai masanya Presiden UMNO memberikan kepercayaan kepada Tok Mat Hasan mengemudi Bahtera UMNO ini berhadapan dengan PRU15 dengan dibantu oleh Perdana Menteri Ismail Sabri.

Kombinasi dua pemimpin ini secara keseluruhannya dilihat akan memberi nafas dan harapan baru kepada UMNO apabila berhadapan dengan rakyat jelata.

Kritikan-kritikan daripada pihak pembangkang dan Tun Mahathir juga dilihat akan berkurangan kerana mereka akan kehilangan modal untuk menyerang UMNO. – SM

(Visited 435 times, 1 visits today)

Show More

Dato' Saiful Bahar

Penulis merupakan bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (2008-2009), bekas Setiausaha Sulit Kanan kpd. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (2009-2013). Beliau juga bekas Penasihat Khas kpd. Menteri Peladangan dan Komoditi (2016-2018). Pernah bertugas dengan 3 Menteri dan seorang Timbalan Menteri serta telah berkhidmat di 8 Kementerian sepanjang 18 tahun di Putrajaya. Ketika ini, beliau merupakan Penganalisa Politik dan Polisi Kerajaan untuk Badan Bebas dan News Portal.

Related Articles

Back to top button