fbpx
Nasional

Berita gembira dari kerajaan

DALAM derita ada gembira. Dalam bencana ada juga khabar ceria.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaikan seorang bapa yang mendengar rungutan anak-anak hari ini mengumumkan sekurang-kurang enam khabar gembira.

Pertama: Semua ahli KWSP dibenarkan mengeluarkan wang akaun dua sebanyak RM500 sebulan selama dua bulan.

Langkah ini bukan sahaja dapat meringan bebanan mereka yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19 sahaja, bahkan mereka yang kehilangan pekerjaan sebelum ini akibat daripada kelembapan ekonomi negara akan turut mendapat manfaat.

Ada juga yang mempertikaikannya kerana ia adalah untuk kegunaan ketika usia tua. Tetapi sebagaimana pesanan perdana menteri supaya wang berkenaan digunakan dengan sebaik mungkin.


Apa guna duit yang ada jika tidak dapat digunakan ketika kita menghadapi kesukaran.

Selain itu wang yang dibelanjakan akan menggerakkan kembali ekonomi negara yang agak statik pada masa  ini kerana orang tidak keluar dan tidak dapat menjalankan urusan harian dan kehilangan kuasa beli kerana kehilangan sumber pendapatan.

Cuma kaedah pengeluaran harus dilakukan secara online, mungkin kaedah bagaimana permohonan skim insuran pekerja Perkeso boleh diikuti.

Permohonan dibuat secara online dan hanya tampil ke KWSP untuk pengesahan dokumen sahaja.

Dalam pada itu ada yang menuduh kerajaan menggunakan duit rakyat untuk dijadikan ransangan ekonomi dan mengatasi masalah penularan wabak dan bukan dari kantong kerajaan.

Tuduhan itu sebenarnya melulu kerana kerajaan membelanjakan banyak lagi wang dan langkah tersebut akan memberi kesan langsung kepada rakyat dan meringankan bebanan mereka.

Muhyiddin turut mengumumkan topeng yang diimport dari China akan diagihkan secara percuma kepada rakyat dan pada masa yang sama telah mengarahkan kilang di dalam negara supaya meningkatkan pengeluaran supaya mampu memenuhi permintaan mendadak.

Kerajaan persekutuan juga akan mengagihkan bantuan kepada kerajaan negeri bagi menangani krisis penularan wabak di negeri masing-masing, bukankah ini melibatkan perbelanjaan kerajaan.

Pembayaran PTPTN juga ditangguhkan selama enam bulan dan ini akan meringankan bebanan kewangan rakyat, khususnya golongan muda yang baharu bekerja serta tidak mempunyai pendapatan yang stabil, apatah lagi ketika krisis seperti masa ini.

Kerajaan juga menambah kakitangan kesihatan untuk menangani kes wabak COVID-19 yang semakin meningkat.

Kerajaan juga sedang berusaha untuk melaksanakan bantuan sara hidup yang lebih baik.

Bagi Suara Merdeka mereka yang memberi komen negatif sebenarnya golongan tidak tahu bersyukur atau mereka sebenarnya tidak pernah merasakan kesusahan dihadapi oleh rakyat pada masa ini.

Suara Merdeka tabik dan angkat topi terhadap perdana menteri dan barisan kabinet  yang sangat prihatin masalah rakyat ketika berdepan situasi yang amat sukar pada masa ini. – SM

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button