Nasional

50,000 saksikan sambutan Hari Malaysia di Melaka

Kira-kira 50,000 pengunjung terdiri daripada pelbagai kaum dan pelancong memeriahkan sambutan Hari Malaysia ke-59 peringkat kebangsaan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Bandar Hilir, malam tadi.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, kehadiran begitu ramai pengunjung itu melebihi sasaran jangkaan awal seramai 20,000 orang dijangka membanjiri dataran berkenaan.

Sebahagian daripada pengunjung yang menyaksikan sambutan Hari Malaysia di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Bandar Hilir, Melaka.

Menurutnya, sambutan dengan mengenakan pakaian busana era 60-an serta pelbagai segmen kebudayaan yang ditonjolkan membuktikan majlis yang julung-julung kali diadakan di luar dari Sabah dan Sarawak membuahkan hasil.

“Saya belum dapat laporan sepenuhnya lagi tetapi kalau ikutkan anggaran antara 40,000 hingga 50,000 pengunjung sebab kalau tengok jalan sesak daripada visual dron nampak seluruh bandar Melaka dipenuhi dengan kenderaan.

“Walaupun mereka tak dapat tengok di pentas tetapi mereka boleh menyaksikan melalui led tv, membantu memudahkan semua pihak dapat menyaksikan sambutan gilang gemilang itu,” ujarnya kepada pemberita selepas majlis perasmian disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


Annuar Musa bersama tetamu kehormat mengangkat tangan sewaktu ikrar Rukun Negara dilafazkan sewaktu sambutan Hari Malaysia di Bandar Hilir, Melaka.

Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan itu berkata, langkah yang diambil memperkenalkan pemakaian busana era 60-an daripada pelbagai etnik termasuk dari Sabah dan Sarawak jelas mencuri tumpuan.

Menurutnya, itu adalah sesuatu yang jarang dilihat kerana pengunjung terutama pelancong dari luar negara dapat melihat kepelbagaian pakaian tradisi dan kebudayaan daripada orang Asli hingga kepada kaum etnik yang terdapat di negara ini.

“Boleh saya katakan pemakaian busana era 60-an yang diketengahkan disifatkan berjaya kerana saya fikir memperagakan busana lama adalah satu nostalgia yang jarang dilihat,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat menjayakan sambutan itu dengan penuh gilang gemilang menepati sasaran yang diletakan.

Katanya, selepas ini sambutan tersebut akan kembali semula ke Sabah dan Sarawak sebelum kembali
semula ke Semenanjung. – SM

(Visited 21 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button