Nasional

Covid-19: Semua negeri terima peruntukan RM130j bantu peniaga, penjaja kecil

SEMUA negeri termasuk yang ditabir pembangkang akan menerima peruntukan yang sama bagi membantu penjaja dan peniaga kecil yang terjejas akibat krisis COVID-19.

Bantuan RM130 juta kepada setiap negeri yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin itu juga bagi disalurkan kepada pesakit COVID-19 dan ahli keluarga mereka serta menyediakan keperluan kepada petugas-petugas di peringkat kerajaan negeri yang terlibat dalam menangani krisis ini.

“Peruntukan sama rata akan diberi kepada setiap negeri, tanpa mengira parti mana yang membentuk kerajaan negeri berkenaan.

Krisis yang sedang kita hadapi ini memberi kesan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan
kecenderungan politik. Sebab itulah saya berpandangan semua pihak tanpa mengira fahaman politik mestilah bersama-sama berganding bahu dan bersatu-padu untuk menangani krisis yang sedang kita hadapi ini,” kata Muhyiddin.

Menurutnya, menjaga keselamatan rakyat, kesihatan rakyat dan nyawa rakyat adalah tanggungjawab bersama yang melangkaui batas politik.


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sejurus selesai mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Tindakan Ekonomi hari ini.

Dalam mesyuarat itu beliau telah diberikan penerangan terperinci mengenai situasi terkini kewangan negara. Ini termasuk penurunan mendadak harga minyak mentah dunia dan penularan wabak COVID-19 yang memberi kesan ke atas pertumbuhan ekonomi dan kedudukan semasa kewangan negara. -SM

(Visited 115 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button