Nasional

Raja Muda Perlis titah peri penting rakyat dapatkan suntikan vaksin Covid-19

Amatlah penting bagi masyarakat yang telah menerima temujanji untuk hadir mendapatkan vaksinasi bagi memastikan sasaran untuk Kerajaan menimbang semula peralihan daripada Fasa kedua kepada Fasa Ketiga Pelan Pemulihan Negara bagi negeri Perlis tercapai dengan secepat mungkin.

Difahamkan menurut Jabatan Kesihatan Negeri, setakat ini status kehadiran vaksinasi di negeri Perlis masih tidak memuaskan kerana lebih kurang 20% penduduk yang telah diberikan temujanji gagal untuk hadir walaupun pelbagai usaha telah dibuat oleh anggota kesihatan serta pelbagai pihak untuk memaklumkan tarikh serta tempat suntikan masing-masing.

Kegagalan untuk hadir bukan sahaja akan melewatkan pencapian imunisasi negeri, malah akan menyebabkan tempoh masa temujanji orang lain akan turut terkesan.

Oleh itu, semua yang telah mendaftar diminta mengambil sikap serius dan bertanggungjawab dalam hal ini.

Anak-anak pula dipohon supaya sentiasa membantu dengan memantau nama ibubapa atau dato serta nenek mereka yang sudah mendaftar supaya menghadirkan diri untuk temujanji vaksinasi masing-masing apabila diundang.


Demikian titah perutusan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis susulan pengumuman Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyatakan bahawa Perlis yang kini dalam Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara mungkin mampu beralih ke fasa seterusnya dengan lebih cepat iaitu Fasa Ke Tiga berdasarkan keluasan dan bilangan penduduk di negeri ini yang tidak ramai jika proses pemberian kadar vaksinasi dipertingkatkan.

Tuanku Raja Muda turut menambah bahawa peralihan ke Fasa Tiga dalam masa terdekat adalah amat diperlukan di negeri Perlis ini kerana ramai rakyat yang amat terkesan dan tertekan serta berada dalam kesusahan kerana ekonomi masih belum dapat digerakkan sepenuhnya untuk mereka meneruskan kehidupan masing-masing akibat masih banyak sektor pekerjaan yang belum boleh beroperasi kembali seperti sediakala dalam Fasa Dua ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Sirajuddin Hashim memaklumkan bahawa, sehingga 6 Julai 2021, seramai 71,900 orang telah disuntik dos 1 iaitu 39.7% berbanding penduduk Perlis 18 tahun ke atas. Manakala itu, seramai 44,927 (24.8%) orang telah melengkapkan dos 2.

Tambah beliau, sepanjang bulan Julai ini Perlis dijangka akan menerima sebanyak 100,254 dos vaksin. Mengikut perancangan, seramai 60,356 penerima dos 1 dan 39,898 penerima dos 2 akan disuntik sepanjang bulan ini.

Menjelang penghujung Julai, sekiranya dibandingkan dengan penduduk Perlis berusia 18 tahun dan ke atas, dianggarkan mereka yang akan menerima dos 1 adalah 127,000 (70.1%) dan dos 2 seramai 77,000 orang (42.3%).

Untuk rekod, Kerajaan akan menimbang peralihan daripada Fasa Kedua kepada Fasa Ketiga setelah negeri berkenaan mencapai:
1. Kes harian per 100,000 penduduk kurang daripada 6.1.
2. Penggunaan ICU berada pada tahap mencukupi iaitu kurang daripada 50%, dan
3. Kadar vaksinasi 2 dos melebihi 40% daripada populasi dewasa.

(Visited 161 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button