BeritaNasionalRencah Hidup

Da’i Farhan, isteri baharu terus dikecam netizen

BAHAGIA yang diharap namun kecaman yang diterima.

Itu yang menimpa pasangan pengantin baharu, Da’i Farhan atau nama sebenarnya Nik Ahmad Farhan Nik Muhamad, 29, dan Noorainul Naqim Mohd. Radzi, 40, apabila netizen terus-terusan mengecam tindakan mereka.

Walaupun penjelasan demi penjelasan telah diberikan oleh pasangan ini, malangnya mereka yang mengikuti perkembangan perkahwinan ini sejak mula, seolah-olah tidak  dapat menerima hakikat.

Justeru, pelbagai gelaran yang tidak enak didengar diberikan kepada mereka. Sedangkan Farhan sepatutnya berperanan sebagai contoh terbaik kepada ramai anak muda di luar sana.

Rata-rata netizen menyifatkan kedua-dua mereka ini bertindak keterlaluan bukan sahaja terhadap isteri pertama malah penjelasan yang diberikan juga hanya mengundang `kemarahan’ warga maya.

Perkahwinan itu didakwa tidak mendapat restu isteri pertamanya, Fatin Nurul Ain Mat Aris, 30.

Tekanan dihadapi menyebabkan Farhan nekad menceraikan isterinya yang dikatakan sarat mengandung anak kedua mereka dengan talak satu menerusi rakaman suara aplikasi WhatsApp Selasa lalu.

Pun begitu, isu tersebut tidak selesai setakat itu apabila Farhan turut mengambil tindakan undang-undang terhadap rakan baik Fatin Nurul Ain, dikenali sebagai Ches Al-Maliki dan beberapa rakan lain.

Mereka dikatakan telah memfitnah pendakwah bebas itu dengan mendakwa perkahwinan kedua berlangsung tanpa pengetahuan isteri pertama dan berlaku kekasaran ke atas Fatin Nurul Ain.

“Semoga mereka berbahagia selalu. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata dapat mudarat,” kata Farhan yang memuat naik hantaran tersebut dalam akaun Intagram miliknya Khamis lalu.

Farhan yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan, berkelulusan dalam bidang Pendidikan Islam dan Pengajian al-Quran daripada Universiti Malaya (UM) adalah Tokoh Belia Kelantan (2015).

Dia mula menempa populariti selepas dinobatkan sebagai juara program Da’i musim kedua pada tahun 2014. Farhan juga bekas pemain bola sepak Kelantan bawah 17 tahun (posisi penyerang).

Isteri yang baharu dinikahi di Tanah Suci ini adalah seorang janda beranak lapan. Status janda bukan masalah tetapi mengelirukan orang ramai dengan gelaran `doktor’ itu yang dipersoalkan.

Keraguan yang ditimbulkan mendorong netizen tidak henti-henti `menyiasat’ siapa sebenarnya Noorainul Naqim yang lebih gemar memperkenalkan dirinya sebagai Dr. Aerin.

Pada akaun Facebook miliknya, Noorainul Naqim menggunakan nama samaran `drholisw’ iaitu seorang neurologis, pakar perubatan kosmetik dan usahawan.  Akaun ini ditutup sejak isu ini panas.

Seorang netizen yang juga pegawai perubatan menerusi carian dalam laman web MMC, mendapati nama Noorainul Naqim tiada dalam semakan dan dipercayai menyalahgunakan kelayakan tersebut.

Terbaharu, seorang warga maya yang dikenali sebagai Apeh Jamal pula mendakwa Dr. Aerin pernah `melarikan’ kereta Perodua Kenari miliknya pada 2013. Setelah kisah perkahwinanya dengan Farhan tular, pemiliknya mendakwa berjaya menemui kembali kereta itu.

Kesimpulannya, tidak salah untuk mendirikan rumah tangga dengan sesiapa sahaja yang kita sukai, jika itu adalah takdirnya, tetapi cara yang diguna pakai haruslah berlandaskan tuntutan agama juga.

Kerana membina kebahagiaan di atas kesengsaraan orang lain adalah sangat tidak diredai Allah swt.

Mungkin banyak lagi kisah membabitkan pasangan ini yang akan dibongkar oleh netizen selepas ini. Seperti kata Farhan, `terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata dapat mudarat’. Fikirkanlah.

(Visited 285 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More
Back to top button