Nasional

Alexander nafi tidak pernah keluar kenyataan

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menafikan beliau hanya berdiam diri walaupun terdapat isu membabitkan kementeriannya sepanjang tempoh PKP 3.0 dilaksanakan.

Menurut beliau, pelbagai isu yang berbangkit telah diperjelaskan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan kekeliruan.

KENYATAAN PENUH

1. Saya mengambil maklum isu-isu berkaitan ‘total lockdown’ yang telah dikemukakan oleh bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming seperti yang telah dilaporkan di Free Malaysia Today di kolum Letter to the Editor, ’20 Issues we are unsure of during the total lockdown’ bertarikh 7 Jun 2021.

2. Antara isu yang dibangkitkan oleh beliau adalah kekeliruan terhadap larangan penjualan arak dan kebenaran menjual rokok yang telah mendapat perhatian pelbagai pihak. Beliau juga telah membuat kenyataan bahawa saya, sebagai Menteri yang bertanggungjawab terhadap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung perkara ini.

3. Beliau juga telah mendakwa KPDNHEP mengambil tindakan berdiam diri di dalam isu bengkel kereta yang turut menimbulkan kekeliruan di kalangan pemilik perniagaan, yang tidak pasti samada mereka diberikan kebenaran beroperasi. Ini menyebabkan banyak bengkel kenderaan ditutup dan menyusahkan ramai pihak termasuk pengguna.

4. Pertama sekali, saya menghargai segala teguran dan ulasan yang telah diberikan oleh Dr Ong. Walaubagaimanapun, izinkan saya untuk memperbetulkan beberapa perkara yang kurang tepat.

5. Dakwaan beliau saya tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan bagi menjelaskan isu berkaitan penjualan arak dan rokok ini adalah tidak benar sama sekali.

6. Pada 31 Mei 2020, saya telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi melalui semua media bagi menjelaskan senarai perkhidmatan perlu sektor Perdagangan yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula dari 1 Jun hingga 14 Jun 2021 di seluruh negara.

7. Di dalam kenyataan rasmi itu, senarai perkhidmatan perlu yang diberi kebenaran operasi telah dinyatakan dengan jelas, selain SOP yang perlu dipatuhi oleh semua pihak terlibat. Di dalam senarai yang diberikan, telah diterangkan bahawa kedai serbaneka/mini market dan kedai runcit dikategorikan sebagai essential dan diberikan kebenaran beroperasi. Ini membawa maksud segala barangan yang dijual di kedai serbaneka ini boleh dijual kepada pengguna, termasuklah arak dan rokok.

8. Di premis pasar raya dan pasar raya besar, penjualan barang terhad kepada makanan dan minuman / keperluan asas, farmasi / kedai penjagaan diri dan kedai serbaneka / pasar raya dan restoran (hanya untuk dibawa pulang). Seperti di kedai serbaneka, minuman keras juga turut dijual bersama-sama barang keperluan lain di bahagian jualan minuman pasar raya dan oleh itu, ia boleh dijual kepada pengguna. Perlu ditegaskan di sini bahawa kedai atau premis yang HANYA menjual produk minuman keras tidak dibenarkan beroperasi.

9. Susulan keputusan MKN yang memutuskan semua kilang minuman keras di seluruh negara diarah tutup seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jun 1 2021, KPDNHEP juga telah mengarahkan semua premis yang HANYA menjual arak sepenuhnya, ditutup sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh fasa pertama ini.

10. Saya juga telah menjelaskan kepada pihak media dan kenyataan ini juga dikongsi di laman Facebook saya bahawa Kementerian mengambil maklum keputusan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara yang telah membenarkan penjualan arak di kedai serbaneka seperti 7-Eleven sekiranya mempunyai lesen. Hanya kilang dan kedai menjual arak sepenuhnya (dedicated liquor store) yang tidak dibenarkan beroperasi. Penjualan rokok di kedai serbaneka juga dibenarkan kerana kedai serbaneka telah disenaraikan sebagai ‘essential’.

11. Bagi isu bengkel kereta pula, kenyataan media yang dikeluarkan juga telah menjelaskan bahawa perkhidmatan bengkel kenderaan, penyelenggaraan dan alat ganti disenaraikan sebagai aktiviti yang diberi kebenaran beroperasi dengan kapasiti pekerja dihadkan sebanyak 60% sahaja. Walaubagaimanapun, perkhidmatan cuci kenderaan tidak dibenarkan.

12. Maka, tidak timbul isu Kementerian berdiam diri berkaitan pengoperasian bengkel kereta kerana perkara ini telah dimaklumkan. Informasi berkaitan sektor yang dibenarkan juga telah dihebahkan secara meluas melalui pelbagai platform, termasuk di laman web dan laman sosial KPDNHEP selain hebahan media.

13. Saya berharap penjelasan ini dapat memberikan sedikit input kepada semua. Ini adalah masa sukar yang dihadapi oleh semua pihak dan saya amat berharap setiap daripada kita berhenti dari mengsensasikan pelbagai isu yang boleh menimbulkan keresahan di kalangan rakyat.

14. Di dalam situasi sukar yang dihadapi oleh semua pihak pada ketika ini, adalah lebih penting untuk kita sama-sama bekerjasama membantu memulihkan keadaan dari mengeruhkan lagi suasana.

(Visited 172 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button