Politik

Saya tidak pandu uji, hanya cuba melihat kenderaan lain, MB Kedah

Sama ada dirinya bersalah atau tidak bukan terletak kepada netizen atau penyokong mahupun pembenci kerana ia mesti ditentukan oleh penguat kuasa undang-undang.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor menyerahkan kepada siasatan polis Pulau Pinang yang akan diambil keterangan terhadap dakwaan dihadapi beliau pada petang ini.

“Kalau polis kata ada kesalahan dan saya didakwa, saya yakin tidak dikenakan hukuman gantung. Kalau kena kompaun saya akan bayar dan jika pekerja pusat pameran dikompaun, saya akan bayar juga,” katanya lapor Harakah Daily selepas melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Dewan Al Farabi di Alor Setar semalam.

Sebelum ini tular video dan gambar Sanusi didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) kononnya melakukan pandu uji kenderaan pacuan empat roda (4WD) Ford Raptor di Juru, Pulau Pinang.

Beliau mengesahkan sudah dihubungi pegawai penyiasat polis untuk mengadakan proses rakaman percakapan bagi menentukan jika berlaku sebarang pelanggaran undang-undang.

Menurut Sanusi, beliau tidak melakukan sebarang pandu uji kenderaan ketika itu kerana tujuannya adalah singgah untuk membeli makanan di kedai serbaneka berdekatan kawasan berkenaan.

Jelasnya, ketika itu beliau bersama pemandu dan polis pengiringnya dalam perjalanan ke Kuala Lumpur pada jam 5.30 petang kerana perlu menghadiri mesyuarat penting serta bertemu pelabur.

Katanya, kebetulan ketika pemandu membeli makanan, beliau keluar melihat kenderaan di sebelah kedai dan ada pekerja sedang mengalih kenderaan sebelum menyapa dan bersembang bersamanya sebentar.

“Lelaki itu memperkenal diri sebagai ‘Mr Ong’ dan menerangkan jenis dan spesifikasi kenderaan dengan saya hanya duduk di kerusi penumpang hadapan dan pengiring saya duduk di belakang.

“Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) maksud pandu uji adalah ujian prestasi kenderaan, tetapi saya tidak melakukan pandu uji dan ketika cuba melihat kenderaan lain, baharu sedar ada individu sedang merakam kami,” terangnya.

Berikutan faktor keselamatan, mereka beredar, namun setelah itu menerima maklum video berkenaan tular, sedangkan tiada sebarang transaksi mahupun butiran perhubungan sempat diambil dari ‘Mr Ong’.

“Saya kesal orang terbabit tidak datang dan bertanya mengenai kejadian sebenar kerana saya boleh jelaskan dengan baik apa yang berlaku dan elak salah faham.

“Mungkin kerana saya Menteri Besar yang kontroversi, maka ada orang anggap apabila dapat rakam pemimpin kononnya langgar SOP, maka dia akan jadi hero di negara ini,” katanya.

Berikutan itu, Sanusi menyatakan kesediaannya disiasat dan berhadapan proses undang-undang sekiranya tindakan itu melanggar SOP sekatan pergerakan penuh (SPP) ketika ini.

“Kalau saya kena kompaun maka saya akan bayar dan untuk orang yang merakam pula, selepas ini saya akan hadiahkan gajet baharu untuk mudahkan dia rakam benda baik-baik,” katanya.

Sanusi juga menjelaskan mengenai penggunaan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire milik Syarikat Air Darul Aman (SADA) dinaiki oleh beliau itu.

Terangnya, MPV berkenaan diguna berikutan kapasiti beliau sebagai Pengerusi SADA selain kesesuaian bagi perjalanan jauh seperti itu.

(Visited 319 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button