Nasional

Berhati-hati dengan penipu musim cukai

LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengingatkan pembayar cukai supaya berhati-hati dengan penipu dan pelbagai taktik mereka ketika musim cukai hampir berakhir.

Jurucakap LHDN, Ranjeet Kaur berkata, orang ramai juga mesti berhati-hati apabila didekati oleh pihak yang mendakwa bertindak bagi pihak pencukai termasuk panggilan pada hujung minggu, cuti umum atau selepas waktu pejabat.

“Jangan sekali-kali menghubungi semula mana-mana nombor yang tidak dikenali,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai menghubungi LHDN di talian 03-8911 1000 untuk mengesahkan sebarang komunikasi yang diterima.

Orang ramai harus memastikan bahawa sebarang e-mel yang diterima dihantar daripada domain rasmi “@hasil.gov.my”, katanya.


Bayaran tunggakan cukai hendaklah dibuat hanya kepada LHDN dan tiada pembayaran atau pemindahan patut dibuat kepada akaun pihak ketiga.

Ranjeet juga berkata, orang ramai tidak boleh mendedahkan butiran perbankan peribadi terutamanya kata laluan apabila berurusan dengan pihak yang mencurigakan.

LHDN telah menyiarkan notis kepada orang ramai mengenai teknik yang biasa digunakan oleh penipu berkaitan pengelakan cukai, aktiviti haram, siasatan cukai, keuntungan dagangan saham dan bayaran balik cukai.

Pengelakan cukai

Penipu menyamar sebagai pegawai LHDN atau polis dan menghubungi mangsa mengenai tunggakan cukai mereka melalui mesej, panggilan telefon, surat atau e-mel.

Mangsa kemudiannya diberitahu untuk memuat turun aplikasi Bank Negara Malaysia (BNM) yang palsu dan mendedahkan butiran perbankan peribadi bagi tujuan “siasatan”.

Aktiviti haram

Mangsa dihubungi kerana didakwa terlibat dalam aktiviti haram seperti jenayah dan pengubahan wang haram.

Penipu menyamar sebagai pihak berkuasa, polis atau pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menakut-nakutkan mangsa dan memujuk mereka memindahkan wang ke dalam akaun pihak ketiga, kononnya untuk mengelakkan akaun bank mereka disenarai hitam.

Siasatan cukai

Penipu yang menyamar sebagai pegawai LHDN melawat mangsa, kononnya untuk mengutip cukai, dan menjalankan audit lapangan dan siasatan cukai.

Mangsa diberitahu mereka telah salah memfailkan penyata cukai atau membuat pengisytiharan cukai pendapatan yang tidak tepat, kemudian diminta menyerahkan dokumen dan rekod yang berkaitan.

Mereka kemudiannya diarahkan membuat bayaran tertunggak ke dalam akaun bank yang bukan milik LHDN.

Keuntungan dagangan saham

Mangsa dihubungi melalui surat atau e-mel atas dakwaan penglibatan mereka dalam aktiviti perdagangan saham dengan syarikat pelaburan. Mereka kemudiannya diminta menjelaskan tunggakan cukai mengikut arahan yang diberikan oleh penipu.

Bayaran balik cukai

Mangsa menerima e-mel palsu mengenai bayaran balik cukai yang terhutang kepada mereka dan diarahkan untuk mengklik pada pautan palsu yang mengkehendaki manga mengisi butiran perbankan untuk mendapatkan bayaran balik cukai. – FMT – SM

 

(Visited 57 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button