NasionalRencah Hidup

Ayuh bongkar, tangkap laknatullah sumbang mahram!

KOMENTAR

KETIKA catatan ini dinukilkan, Suara Merdeka cukup yakin insiden sumbang mahram sedang berlaku.

Mangsanya mungkin seorang gadis sunti yang tidak mengerti apa-apa. Umurnya 12 tahun, sembilan atau lapan barangkali. Masih mentah dan ketakutan saban hari. Kasihan.

Di Kelantan, berdasarkan perangkaan polis, kes sumbang mahram melibatkan kanak-kanak adalah 83 peratus daripada 1,353 sepanjang lima tahun sejak 2013.

Kebanyakan kes dilakukan ahli keluarga terdekat.

Related Articles

Pelaku tertinggi jenayah itu adalah bapa yang mewakili 25 peratus daripada keseluruhan kes. Ia diikuti bapa tiri, bapa saudara dan abang.

Tidak sahaja di Kelantan, perlakuan sumbang mahram dipercayai terjadi di setiap negeri. Cuma belum terbongkar melalui tangkapan polis. Sedih bukan?

Pada September 2017, menteri menjaga hal ehwal wanita ketika itu, Datuk Seri Rohani Karim mendedahkan sebanyak 3, 272 kes sumbang mahram dilaporkan di Sarawak sejak 2006 hingga 2015. Daripada jumlah kes itu, majoriti mangsa berumur 13 hingga 15 tahun.

Tragedi inses yang didedahkan kepada umum di Kemaman, Terengganu tahun lepas misalnya amat mengejutkan. Dua beradik tergamak menjadikan adik perempuan kandung mereka sendiri yang berusia 13 tahun sebagai tempat melempiaskan nafsu serakah sehingga mangsa melahirkan seorang bayi perempuan.

Perbuatan terkutuk dua lelaki berusia 17 dan 19 tahun itu terbongkar apabila mangsa mengadu sakit perut. Hasil soal siasat lanjut polis terhadap mangsa mendapati mangsa telah dirogol dua abangnya bermula akhir 2017 ketika mereka menetap di Kuantan, Pahang.

Inses – perbuatan zina dilakukan seseorang yang ada pertalian darah atau nasab (keturunan) dengan mangsa.

Baru-baru ini Suara Merdeka menerima panggilan daripada seorang ibu muda lewat 20-an yang mahu dikenali sebagai Ina sahaja. Dengan suara sebak, tersekat-sekat, Ita berkongsi dengan saya:

“Saya senasib, sama seperti bidalan Melayu, kisah `haruan makan anak’. Adik beradik saya kesemuanya lelaki dan saya anak perempuan tunggal. Jujurnya sehingga ke hari ini jiwa saya masih terluka.

“Pertama kali saya buka cerita adalah pada guru mengaji Quran saya, waktu itu saya berusia 11 tahun. Pada mulanya pastilah ustazah saya tak percaya, tapi bila saya cerita secara details, dia tahu saya bukan reka cerita.
“Saya tak berani cerita pada ibu sebab ibu amat garang. Jadi, ustazah yang panggil ibu ke sekolah. Bila balik, ibu suruh saya cerita semula padanya. Saya tunjuk semua tempat kejadian. Hati ibu remuk, hati saya pun sama.

“Parent saya berpisah untuk beberapa ketika (bukan bercerai). Cuma duduk berasingan. Lama-kelamaan ayah nampak insaf dan ibu menerima kembali. Kisah saya itu hilang ditelan masa. Tapi tak terhenti di situ. Bila saya masuk tingkatan satu dan mendapat tawaran asrama penuh, perlahan-lahan saya menjauhi mereka.

“Saya belajar lebih tentang aurat. Namun untuk berikan dia peluang bila saya berada di rumah, tidaklah. Saya sudah berani mengelak.
Ada saja harinya saya sedang tidur dan tiba-tiba rasa dipeluk dari belakang. Kemudian bila ibu terlihat, saya pula dimarahinya.
“Kali terakhir dia meraba saya ketika saya tingkatan lima. Saya menangis dan merayu. Tolonglah jangan sentuh saya lagi. Tolonglah. Dan benar, itulah kali terakhir perkara itu terjadi.
“Yang pasti, saya kecewa dengan kedua ibu bapa saya. Kerana kisah silam itu, saya mudah benci pada orang. Malah dulu, suami saya juga teruk dimarahi oleh saya. Saya juga sebenarnya benci hubungan seksual. Saya rasa saya ini hanyalah objek pelepas nafsu walaupun sebenarnya tidak.
“Entah. Saya ada dua muka. Satu optimis dan kedua, pesimis. Di sebalik senyuman manis yang saya pamerkan pada semua orang, ada rahsia terpendam yang hanya Allah sahaja tahu.”
Itu luahan hati Ina kepada Suara Merdeka. Ya, perlakuan sumbang mahram merosakkan institusi keluarga.

Satu kajian oleh Dr. Abdul Hadi Zakaria pada 1996 dan laporannya diterbitkan pada Januari 1998 dengan tajuk Haruan Makan Anak: Inses di Semenanjung Malaysia menunjukkan dari 1992-1994, mendapati 30% dari kes rogol yang dilaporkan melibatkan sumbang mahram. Penceroboh utama jenayah ini ialah bapa kandung (48.8%) dan diikuti bapa tiri (24.4%). Lelaki-lelaki lain yang menjadi penceroboh ialah bapa saudara, abang ipar dan datuk. Kebanyakan kes sumbang mahram ini berlaku di rumah kediaman mangsa.

Kajian menunjukkan inses lebih banyak berlaku dalam kalangan mereka yang berpendapatan rendah dan majoriti kes berlaku di kawasan luar
bandar. Ini bertentangan dengan pandangan am bahawa kampung dan komuniti tradisional adalah kawasan selamat kerana didiami oleh orang-orang yang konvensional, yang berpegang kuat kepada ajaran agama dan yang dikatakan tidak cenderung ke arah perbuatan jahat.

Mangsa perlu melaporkan kejadian inses ini. Kalau tidak dilaporkan, ia akan lenyap begitu sahaja seperti nasib dialami oleh Ina. Pihak berwajib bantulah mereka ini yang malu dan tidak tahu kepada siapa mahu mengadu.

Dan ibu-ibu di luar sana, ajarlah anak perempuan anda dari kecil lagi mengenali diri sendiri, tempat sulit dan bercerita jika ada sesiapa berlaku tidak sopan dengannya.

Ayuh! marilah kita bersama-sama bongkarkan kes sumbang mahram.
Hadapkan si pelaku laknatullah ini ke muka pengadilan. – SM

(Visited 1,500 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button