Nasional

Subsidi minyak masak paket diteruskan untuk B40

KERAJAAN masih mengekalkan subsidi minyak masak, dengan jumlah sebanyak RM4 bilion untuk tahun 2022 berbanding RM500 juta pada tahun 2020 dan RM2.2 bilion pada 2021.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, minyak masak yang disubsidi oleh Kerajaan ialah sebanyak 60,000 tan metrik sebulan melebihi daripada keperluan sebenar pengguna iaitu sebanyak 55,000 tan metrik sebulan.

“Subsidi yang ditanggung oleh Kerajaan adalah untuk kategori minyak masak kampit RM2.50 bagi satu kilogram (kg) sahaja berbanding harga pasaran sebenar, RM9.00 bagi satu kg untuk kegunaan Keluarga Malaysia golongan B40. Subsidi ini telah bermula sejak Jun 2007,” jelas Ismail Sabri dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengimbas, sewaktu pandemik Covid-19, Kerajaan telah memperkenalkan program subsidi sementara untuk minyak masak berbotol bagi 1kg, 2kg, 3kg dan 5 kg pada Ogos 2021.

Usaha ini, katanya, adalah bagi membantu Keluarga Malaysia yang ketika itu terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Program subsidi sementara untuk minyak masak berbotol ini hanyalah untuk tempoh tiga bulan sahaja dengan kos RM55 juta sebulan.

“Walau bagaimanapun, Kerajaan mendapati minyak masak berbotol yang disubsidi banyak diselewengkan oleh pihak industri, komersial dan aktiviti penyeludupan.

“Sehubungan dengan itu, Kerajaan membuat keputusan mulai 1 Julai 2022 untuk tidak lagi menyambung subsidi untuk minyak masak berbotol kerana objektif awal program ini adalah untuk membantu golongan terkesan pandemik,” tegas Perdana Menteri.

Untuk itu, beliau berkata, subsidi minyak masak kampit sahaja yang akan diteruskan dan Kerajaan yakin subsidi sebanyak 60,000 tan metrik sebulan adalah mencukupi untuk kegunaan Keluarga Malaysia. – SM

(Visited 277 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button