NasionalNegeri

Francais juga perlu perubahan landskap ke arah digitalisasi – Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa perniagaan berasaskan ekonomi digital kini adalah tidak asing lagi dan perubahan landskap perniagaan francais ke arah digitalisasi menjadi keutamaan.

Kelebihan ini mampu membolehkan interaksi perniagaan diperluaskan dengan pengguna dari seluruh dunia di samping melaksanakan digitalisasi dalam keseluruhan rantai bekalan.

Malahan, ianya bukan sahaja mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tetapi juga mewujudkan perniagaan-perniagaan sokongan seperti perkhidmatan penghantaran.

Demikian titah baginda ketika berkenan merasmikan Pembukaan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) bertajuk ”Pendaftaran dan Pembangunan Perniagaan Francais” yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama YTF, hari ini.

Menyampaikan kata-kata aluan ialah Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Azman Mohd Yusof yang menginisiatifkan webinar tersebut pada kali ini.

Raja Muda dalam titah percaya kerajaan juga memandang serius dalam memastikan pembangunan pesat industri francais dan mengurangkan perbezaan jurang di dalam industri ini.

Fokus utama ini akan menjana ekonomi negara dan seterusnya wujudnya peluang pekerjaan untuk rakyat.

Idea dan input dalam membangunkan mikro francais dapat membantu merangka peningkatan tahap sosioekonomi golongan B40 ke M40 yang diharapkan akan menarik minat mereka untuk menceburi bidang perniagaan.

Oleh itu, Tuanku Syed Faizuddin yang juga merangkap Penasihat DiRaja YTF yakin penglibatan golongan masyarat setempat dalam bidang perniagaan francais ini perlu dipertingkatkan dan disokong oleh pendekatan-pendekatan yang bersifat “memudahcara” dan “meringankan”.

Mereka yang telah berjaya juga diseru untuk membantu rakan-rakan yang baru atau sedang berkecimpung supaya lebih berdaya maju.

Webinar tersebut dirasmikan penutupan oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pengerusi YTF pada sebelah tengaharinya. – SM

(Visited 175 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button