Rencah Hidup

Pemilik Warung 2 Ringgit nekad pertahan harga bajet

SEJAK harga bahan mentah naik mendadak, ada sahaja saja rungutan di kalangan peniaga makanan. Rata-rata mendakwa sukar untuk memperoleh keuntungan yang sewajarnya. Tetapi yang peliknya, ada pula peniaga yang dapat bertahan menjual makanan dengan harga RM2.

Berkali-kali juga pertanyaan ini penulis ajukan kepada pemilik Warung 2 Ringgit di Pauh Sanglang, Simpang Empat, Perlis kenapa dia masih bertahan menjual makanan serendah RM2 ini.

“Kuantiti yang sama untuk menu nasi ayam, laksa, bihun sup, Ais Batu Campur (ABC) yang dijual sejak Warung 2 Ringgit dibuka pada tahun 2016 sampai ke hari ini,” kata pemilik kedai ini, Razali Darus, 45 ketika ditemui Suara Merdeka.

Razali menunjukkan ABC dan cendol denga harga RM2 di Warung 2 Ringgit.

Razali memberitahu, semua ini berlaku kerana niat awalnya semasa memulakan perniagaan ini “untuk membuat kebajikan” pada penduduk setempat.

Beliau tidak menjangka, niat itu diizinkan Allah sehingga membolehkan dia bertahan sehingga hari ini.

“Saya juga nekad akan bertahan dengan harga bajet ini sampai bila-bila,” katanya yang dibantu isteri, Siti Hasanah Abdul Rahman, 40.

Beliau bersyukur kerana isteri bertindak sebagai tukang memasak untuk semua menu di kedainya.

Katanya, antara menu asas RM2 seperti ABC, cendul, laksa, nasi ayam dan maggi/kuetiau/bihun sup ayam.

Sebuah keluarga seronok menjamu selera di Warung 2 Ringgit.

Selain itu katanya, dia juga menyediakan menu berharga RM3 iaitu untuk maggi/kuetiau/bihun sup Thai.

“Dua lagi menu tambahan berharga RM6 iaitu mee rebus dengan nasi daging rebus dan air asam,” katanya.

Bekas peniaga bundle di pasar sehari (Nat) sekitar Perlis ini mengakui mulanya hanya mencuba menjual ABC sahaja bagi mengisi masa lapang selepas selesai berniaga pada waktu petang.

“Lama kelamaan saya tambah menu sehinggalah akhirnya membuka Warung 2 Ringgit,” katanya.

Beliau akui ketika itu mulai muncul saingan apabila ada kalangan peniaga lain juga menjual harga bajet.

Razali tetap meneruskan menu bajet itu dan rata-rata pelanggan terus memberikan sokongan dengan kembali semula.

Beliau percaya, sekalipun keuntungannya paling minima, apa yang penting perniagaannya dapat diteruskan bagi jangka panjang. – SM

(Visited 304 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button