Nasional

Raja Muda Perlis seru semua pihak kembalikan komitmen sekat penularan HIV

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru semua pihak agar bersama-sama mengembalikan semula komitmen masing-masing dalam usaha menamatkan penularan HIV. Ketidaksamaan yang berterusan dan cabaran yang ditimbulkan oleh pandemik Covid-19 memerlukan usaha baharu untuk menamatkan HIV yang akan menjadi ancaman terhadap kesihatan awam menjelang tahun 2030.

Menurut baginda, HIV dan Covid-19 perlu ditangani secara bersama-sama. Kita mesti memahami cabaran yang dihadapi oleh mereka yang hidup dengan HIV dalam menghadapi pandemik Covid-19 ini.

Tambah Tuanku Raja Muda lagi, “Pada masa yang sama masyarakat dunia perlu memberikan tumpuan dan perhatian kepada mereka yang dipinggirkan akibat HIV. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan agar tumpuan diperbaharui atau dilihat semula kepada negara-negara dan populasi yang masih belum mendapat perhatian atau “tercicir’ dalam mendapatkan tindak balas secara global terhadap isu HIV dan AIDS. Ini meliputi pelbagai kumpulan mereka yang terpinggir di setiap negara, termasuklah populasi ‘utama’ mereka yang berisiko tinggi”.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian selepas berkenan berangkat menghadiri kempen kesedaran ‘Hari AIDS Sedunia’ anjuran Jabatan Kesihatan Negeri dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra dan Yayasan Tuanku Fauziah di Masjid Darul Ulum, Wang Ulu, Kangar hari ini.

Pakar Perubatan Keluarga dari Klinik Kesihatan Arau, Dr Muhammad Faiz Rasmi menyampaikan taklimat beliau dalam program yang diperingati pada 1 Disember setiap tahun bagi memupuk kesedaran masyarakat mengenai wabak AIDS yang disebabkan oleh jangkitan HIV dengan tema kali ini “Akhiri Ketidaksamarataan, Akhiri Aids, Akhiri Pandemik”.

Sementara itu, dalam sesi berasingan, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dr Sirajuddin Hashim menyeru masyarakat supaya meningkatkan kefahaman tentang pentingnya isu kesaksamaan bagi memastikan bahawa setiap kumpulan yang berisiko untuk jangkitan HIV, di mana-mana sahaja mereka berada memiliki akses yang sama kepada aktiviti pencegahan, ujian, rawatan dan penjagaan pengidap HIV, termasuklah vaksinasi dan rawatan berkaitan Covid-19”.

Beliau turut menekankan kepada ‘Seruan untuk bertindak” atau “Call for Action” terhadap isu ini di mana masyarakat perlu mengekalkan kepentingan perkhidmatan HIV yang berkualiti tinggi semasa wabak Covid-19 serta menggabungkan isu HIV ke dalam aktiviti kesihatan harian’.

“Berikanlah penjagaan yang baik, menghormati hak asasi manusia dan tanpa sebarang stigma. Pastikan kakitangan adalah terlatih dan sedar tentang pencegahan dan kawalan jangkitan serta dengan menggunakan langkah yang bersesuaian. Justeru, lindungi keselamatan semua dan juga orang-orang yang disayangi”, tegas Dr Sirajuddin.

Sempena program yang disekalikan dengan aktiviti ‘Hijrah Minda MAIPs Bilangan ke 34 bagi tahun 2021 tersebut Tuanku Raja Muda turut berkenan menyerahkan sumbangan MAIPs bernilai RM400 setiap seorang dan berjumlah penuh RM11,200 kepada seramai 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid berkenaan melalui amilnya Mohammad Radzi Abdullah yang turut dihadiri sama oleh Ketua Pegawai Eksekutuf MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

(Visited 166 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button