fbpx
Nasional

Akta Hasutan tidak akan dimansuh

KERAJAAN tidak akan memansuhkan Akta Hasutan 1948 kerana ia masih relevan selepas mengambil kira struktur masyarakat terdiri daripada pelbagai agama serta bangsa.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata, statistik mendapati terdapat trend peningkatan kes melibatkan kesalahan menghasut terhadap institusi Diraja, kaum dan agama.

“Kebelakangan ini penyebaran maklumat palsu atau berita berunsur hasutan semakin berleluasa sehingga boleh mewujudkan suasana tidak tenteram khususnya apabila berita itu menyentuh isu sensitif dalam kalangan masyarakat.

“Berdasarkan statistik, terdapat trend peningkatan kes 2 tahun kebelakangan ini yang melibatkan kesalahan menghasut terhadap institusi Diraja, kaum, agama dan hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, atau hak kedaulatan yang dilindungi oleh Bahagian 3 Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 152, 153 dan 181 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Jelas beliau, penyebaran maklumat atau berita berunsur hasutan melalui media sosial secara tidak bertanggungjawab dalam kalangan rakyat dikhuatiri boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.


Hamzah menjawab soalan Gobind Singh Deo (PH-Puchong) yang meminta menyatakan sama ada Akta Hasutan akan dimansuhkan dan status tindakan untuk tujuan itu.

Menurut Hamzah sebanyak 300 kertas siasatan dibuka mengikut Akta Hasutan 1948 dari 2015 hingga 1 Julai lalu.

Hamzah berkata, sebanyak 41 kes berjaya dituduh ,171 kes diputuskan tiada tindakan lanjut (NFA), 54 kes masih dalam siasatan dan 34 kes diputuskan kemaskini untuk simpan (KUS).-SM

Show More

Related Articles

Back to top button