Nasional

Tanah runtuh, banjir: Beberapa batang jalan di Pahang ditutup

HUJAN lebat berterusan sejak semalam, menyebabkan beberapa jalan di Pahang terpaksa ditutup akibat tanah runtuh atau dinaiki air.

Ketua Polis Daerah Raub Superintenden Kama Azural Mohamed berkata Jalan Raub-Bukit Fraser ditutup kepada semua kenderaan pada tengah hari ini ekoran tanah runtuh di Km4 dan Km6 yang menyebabkan laluan di lokasi itu terhalang oleh longgokan tanah serta pokok tumbang.

“Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian itu dan buat masa ini pihak berwajib sedang melakukan kerja pembersihan jalan, serta meletakkan papan tanda amaran bagi menghalang pengguna jalan raya memasuki laluan itu,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Di Bentong, Ketua Polis Daerah Superintenden Zaiham Mohd Kahar mengesahkan jalan lama Bentong-Raub juga ditutup kepada semua pengguna jalan raya ekoran tanah runtuh berhampiran Sang Lee sekitar pukul 11.50 pagi tadi, yang menyebabkan ia terputus dua.

Sementara itu, laluan Km198 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) antara Gambang dan Sri Jaya di Kuantan, yang dinaiki air pagi tadi, dibuka semula pada pukul 3.30 petang kepada semua kenderaan.


Pemegang konsesi LPT1, ANIH Berhad menerusi kenyataan media memaklumkan dua lorong ke arah Timur dibuka sepenuhnya manakala bagi laluan ke Kuala Lumpur, hanya lorong laju dibenarkan dilalui kenderaan buat masa ini.

“Pengguna lebuh raya diminta untuk patuh kepada arahan petugas di lokasi bagi memastikan kelancaran perjalanan dan dinasihatkan untuk mengikuti perkembangan semasa di Twitter @LPTTrafik dan Facebook Lebuhraya Pantai Timur,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Datuk Seri Norolazali Sulaiman berkata 15 jalan di daerah Maran ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan akibat dinaiki air.

Antara terlibat ialah jalan di sekitar bandar Maran dan bandar Sri Jaya yang dinaiki air mulai pagi ini, selain jalan di sekitar Felda Jengka iaitu di Jengka 3, Jengka 5, Jengka 8, Jengka 13, Jengka 15 dan 16 serta di laluan ke Kolej Matrikulasi Jengka.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk peka dengan pengumuman dan amaran pihak berkuasa mengenai penutupan jalan ini kerana hujan yang masih berlaku berkemungkinan menyebabkan lebih banyak jalan terpaksa ditutup untuk keselamatan.

“Kita berharap semua pengguna jalan raya dapat mematuhi arahan dan tidak mengambil risiko untuk menyeberangi jalan kerana dikhuatiri membawa kepada kejadian tidak diingini,” katanya.

Norolazali berkata di Jerantut, empat Jalan Persekutuan yang ditutup ialah Jalan Jerantut-Maran, Jalan Padang Piol-Sungai Rentang, Jalan Kota Gelanggi dan Jalan Ulu Retang ke Merting.

Sementara itu Jalan Ulu Gali dan Jalan Ulu Jelu di Raub serta Jalan Pintasan Kampung Aur, Jalan Simpang Sepayang dan Jalan Paya Sepayang di Rompin turut ditutup kerana dinaiki air. – BERNAMA

(Visited 230 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button