fbpx
Nasional

Tahun Baharu Cina, tulisan Jawi berkongsi satu cerita  

Tahun Baharu Cina yang merupakan perayaan terbesar masyarakat Cina dan tulisan Jawi yang merupakan tulisan warisan masyarakat Melayu walaupun berbeza tetapi mempunyai satu jalan cerita.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, kedua-dua budaya dan warisan tersebut merupakan warna bangsa yang berbilang di Malaysia.

Justeru Ahli Parlimen Kulai itu berkata, jati diri kaum bukan Cina termasuk Melayu dan India tidak akan kurang hanya kerana menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.

Begitu juga sekiranya masyarakat bukan Islam mempelajari tulisan Jawi yang merupaka khazanah bahasa kebangsaan tidak akan sama sekali menukar agama masing-masing.

“Tidak akan kurang sifat Melayu atau Indianya bila kaum bukan Cina meraikan sambutan Tahun Baharu Cina atas semangat muhibah. Malah pengenalan tiga muka surat tulisan jawi tidak akan menjadikan murid-murid bukan Islam untuk menukar agama.

“Tulisan jawi adalah khazanah bahasa kebangsaan manakala sambutan Tahun Baharu Cina adalah satu perayaan budaya. Kedua-duanya berbeza namun berkongsi satu jalan cerita; warna bangsa yang berbilang,” kata Nie Ching.

Justeru, Setiausaha Antarabangsa DAP itu mengajak semua rakyat Malaysia yang pelbagai kaum agar saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Menurut beliau, perbezaan yang wujud antara kaum di negara ini tidak sepatutnya menjadi punca untuk rakyat Malaysia bersengketa.

Dalam hantaran di Facebooknya, Nie Ching turut memetik serangkap pantun yang dimuatkan dalam Antologi Gema Sepi Gadis Genius.

“Tuan Puteri dari kayangan, Senyuman manis seperti madu, Bermacam-macam keturunan bukan halangan, Untuk membina bangsa yang padu.”

Ketika ini pengajaran tulisan Jawi menjadi isu nasional dan membangkitkan kemarahan rakyat Malaysia apabila Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) mahu Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) yang menentukan sama ada pengajaran tulisan Jawi dibenarkan atau tidak diajar di sekolah vernakular.

Dong Zong turut mahu menganjurkan Persidangan Pertubuhan-Pertubuhan Cina bagi membincangkan isu sehingga mencetuskan suasana tidak selesa dan pihak polis terpaksa memohon perintah mahkamah untuk menghalang persidangan tersebut yang dikhuatiri boleh menyebabkan ketegangan masyarakat berlaku.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Penulis mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. 'Kehilangan' jurukamera ketika bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah penulis lupakan.

Related Articles

Back to top button