fbpx
Nasional

Bantuan makanan untuk 2,000 ketua isi rumah di Tuaran

BANTUAN makanan telah diagihkan kepada kira-kira  2,000 ketua isi rumah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Sulaman di Sabah mulai hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan itu, Datuk Hajiji Noor yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, dalam satu kenyataan di sini berkata misi pengagihan bantuan tersebut dijangka selesai dalam tempoh seminggu.

Beliau mengagihkan sendiri bekalan makanan itu kepada ketua serta wakil dari empat kampung iaitu Kampung Penimbawan, Kampung Baru-Baru, Kampung Lok Munuk dan Kampung Tajau.

Bantuan itu bertujuan meringankan beban penduduk yang terjejas ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak COVID-19.

Katanya bantuan sama akan turut diagih kepada penduduk yang memerlukan di Kiulu dan Tamparuli seperti dilaporkan oleh BERNAMA.


Sebelum ini kerajaan Sabah sudahpun mengumumkan bahawa seramai 36,886 orang di Sabah telah menerima sumbangan khas COVID-19 secara ‘one off’ berjumlah RM300 seorang, membabitkan nilai keseluruhan bantuan RM11,065,800.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata daripada jumlah itu sebanyak 20,157 orang adalah golongan “vulnerable’ atau memerlukan perlindungan, anak yatim (2,197), dan sebanyak 14,532 orang lagi terdiri daripada golongan Orang Kurang Upaya, ibu atau bapa tunggal dan pesakit kronik.

“Perbelanjaan makanan kepada pelajar-pelajar Sabah di Semenanjung  berjumlah RM189,560 melibatkan 2,554 orang pelajar di 33 institusi pengajian tinggi juga telah diagihkan melalui Pejabat Perhubungan Negeri Sabah di Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata selain itu sebanyak 17 Pusat Kuarantin di Sabah yang melibatkan 2,076 orang menerima perbelanjaan bantuan makanan berjumlah RM91,440.

Katanya bantuan makanan untuk 20 kanak-kanak jalanan (gelandangan) yang dikuarantin sementara juga telah dilaksanakan membabitkan perbelanjaan berjumlah RM2,354.

Mohd Shafie juga berkata setakat ini seramai 410 orang daripada kategori miskin dan miskin  tegar di Sabah telah menerima bantuan ‘one off’ RM500 seorang dengan jumlah bayaran keseluruhan sebanyak RM205,000.

“Manakala sebanyak 12,678 lagi orang penerima sumbangan dalam kategori ini sedang dalam proses pembayaran yang melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM6,339,000,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 22 orang pesakit COVID-19 di negeri ini juga telah menerima sumbagan ‘one off’ RM500 seorang, manakala  188 lagi pesakit akan menerima bantuan sebaik sahaja maklumat akaun mereka diterima.

(Visited 5 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button