Nasional

Penjara khas perlu diwarta untuk pesalah PKP

KERAJAAN disaran supaya mewartakan penjara khas untuk menempatkan pesalah Perintah Kesalahan Pergerakan (PKP) sepanjang tempoh menangani penularan COVID-19.

Peguam Haniff Khatri Abdulla berkata, Pejabat Peguam Negara, Jabatan Penjara dan Polis Diraja Malaysia boleh mengenal pasti bangunan awam untuk diwarta penjara sementara bagi menempatkan pesalah PKP.

“Penjara sementara COVID-19 perlu mengambil kira pelbagai isu perundangan dan logistik, yang mana boleh diselesaikan secara baik dan tuntas oleh ketiga-tiga agensi terbabit,” katanya hari ini.

Tambah beliau, penjara berkenaan perlu diwarta sebagai Penjara Sementara COVID-19″ untuk mematuhi keperluan undang-undang dalam diiktiraf sebagai penjara sah untuk dihantar pesalah PKP.

“Keperluan adanya warden utama sebagai pegawai yang mengendalikan tambahan lokasi  penjara khas diwarta dan melantik dalam kalangan pesara-pesara warden, pegawai penjara atau pesara polis serta tentera,” katanya.

Kata Haniff, mereka yang dilantik seharusnya yang berumur kurang daripada umur 65 tahun sebagai petugas-petugas lantikan, yang masih sihat dan sukarela untuk berkhidmat secara khusus di penjara khas itu.

Langkah itu, ujar beliau, bagi mengelak daripada Jabatan Penjara terbeban dengan tambahan tugas.

Sebelum ini pelbagai pihak membangkitkan isu tindakan memenjarakan semua pesalah PKP akan menyebabkan kesesakan di penjara yang sekali gus akan menyebabkan mudah tularnya wabak COVID-19 bukan sahaja kepada banduan, tetapi juga kepada anggota jabatan yang bertugas.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat juga menggesa para hakim untuk mengambil kira isu kesesakan penjara ketika menjatuhkan hukuman terhadap mereka yang ingkar perintah PKP.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob turut berkata kerajaan mahu perkara itu diselesaikan dengan kadar segera.

Mesyuarat, katanya telah memutuskan pihak Peguam Negara, polis, dan Jabatan Penjara membincangkan isu ini untuk diselesaikan dengan segera – SM

(Visited 297 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.
Back to top button