AgamaNasionalNegeriRencah Hidup

Sekali lagi Perlis galakkan solat Aidilfitri di tanah lapang

BUAT kesekian kalinya, selepas negara dilanda Covid-19, Perlis menggalakkan masjid di seluruh negeri ini supaya mengadakan solat Aidilfitri 1445H/2024M di tanah lapang (musolla) sebagai mengikut Sunnah Baginda Rasulullah SAW.

Bagaimanapun pihak Jawatankuasa Kariah juga boleh mempertimbangkan penggunaan ruang dalam masjid sekiranya terdapat keperluan bergantung kepada ruang, dan bilangan jemaah yang hadir.

Jika cuaca buruk atau tidak sesuai maka Solat Aidilfitri hendaklah dilaksanakan di ruang dalam masjid kariah masing-masing pada pukul 8.15 pagi.

“Hebahan berkaitan perubahan lokasi dari musolla ke ruang dalam masjid perlu dimaklum oleh Jawatankuasa Kariah Masjid pada pukul 7.45 pagi,” titah Raja Muda Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah demikian dalam siaran media oleh Istana Arau hari ini.

Baginda selaku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah, bagi pelaksanaan Solat Aidilfitri di kariah Kota Raja Arau pula, solat akan diadakan di Dataran Istiadat Istana Arau seperti ketetapan masa di atas.

Titah Baginda, jika keadaan cuaca tidak mengizinkan, Solat Aidilfitri akan didirikan di ruang solat Masjid Negeri Arau.

Titah Baginda, pengurusan masjid pula hendaklah melaksanakan tatacara berkaitan pelaksanaan Solat Aidilfitri seperti lafaz takbir hari raya, kaifiyat solat, khutbah hari raya dan sebagainya dengan merujuk kepada panduan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Sebarang persoalan berkaitan pengurusan pelaksanaan Solat Aidilfitri, sila hubungi pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) melalui talian 04-9794400 atau berinteraksi melalui hantaran peribadi di Laman facebook MAIPs.

Baginda bertitah, “Harapan beta agar segala ketetapan yang terkandung dalam hebahan ini sentiasa dijunjung tinggi, dan dipatuhi oleh seluruh rakyat yang dikasihi,”.

Selain itu, Raja Muda juga mengingatkan kepada seluruh rakyat, agar menggunakan kesempatan Aidilfitri ini untuk bermuhasabah diri, memperbanyakkan istighfar serta menghiasinya dengan takbir, tahmid dan tahlil sebagai mezahirkan kesyukuran atas limpah kurnia dan rahmat Allah Azza Wajalla kepada kita semua.

“Di kesempatan ini, Beta turut menyempurnakan titah DYMM Tuanku Raja Perlis dan DYMM Tuanku Raja Perempuan Perlis menzahirkan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri 1445H’ dan “Taqabbalallahu minna wa minkum”. – SM

BACA Pemangku Raja Perlis solat Aidilfitri di Dataran Istiadat, Istana Arau

BACA Perlis laksana Solat Aidilfitri di tanah lapang – Pemangku Raja Perlis

(Visited 55 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button