Nasional

Ahli Parlimen dilarang guna perkataan berbaur hasutan, rasis, biadab dan seksis

YANG Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memberi peringatan kepada semua ahli Dewan Rakyat agar tidak menggunakan perkataan berbaur hasutan, rasis, biadap dan seksis sepanjang persidangan berlangsung.

Azhar yang memulakan sesi persidangan pagi tadi berkata, beliau dan timbalan-timbalannya akan mengambil tindakan berlandaskan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat sekiranya perkataan sedemikian masih digunakan oleh mana-mana Ahli Parlimen.

Azhar berkata, semalam, beliau telah mengadakan perjumpaan dengan wakil whip parti bagi membincangkan perkara itu.

Kesemua yang hadir menyatakan komitmen dalam memastikan perkataan berbentuk hasutan, rasis, biadab dan seksis tidak digunakan, katanya.

“Adalah diharapkan semua Ahli-ahli Yang Berhormat memberi komitmen sama demi menjamin perjalanan dewan yang berkualiti dan beradap sopan.

“Saya ingin mengingatkan kepada Yang Berhormat semua dan diri saya sendiri bahawa keberadaan kita di sini memberi tanggungjawab yang amat berat iaitu harapan rakyat pada kita semua,”  katanya.

Dalam pemaklumannya, Azhar turut berharap semua Ahli Parlimen berbahas dengan tertib dan sopan supaya kepentingan rakyat dapat dibela serta kesucian Dewan Rakyat sentiasa dijaga. – BERNAMA – SM

(Visited 88 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button