Ekonomi

SME Bank sedia pembiayaan padanan geran Pemerkasa RM200 juta

SME Bank akan menyediakan dana sebanyak RM200 juta di bawah Pembiayaan Padanan Geran Pemerkasa bagi membantu usahawan daripada sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar).

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, penyediaan dana itu lanjutan daripada inisiatif Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.

Padanan geran itu melibatkan bidang pembuatan, perkhidmatan, pertanian dan pembinaan yang masih terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Sektor 3D adalah antara sektor yang memerlukan perhatian dan bantuan daripada institusi kewangan kerana operasi perniagaan mereka telah tergendala akibat daripada penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan sejak tahun lepas.

“Pembiayaan Padanan Geran PEMERKASA ini akan membolehkan usahawan mendapat pembiayaan sehingga RM1 juta untuk tempoh maksimum 10 tahun dengan kadar keuntungan antara 4% hingga 5% setahun,” kata Aria dalam satu kenyataan.


Katanya, untuk setiap pembiayaan yang diluluskan, Kementerian Kewangan Malaysia akan memberikan padanan geran sehingga maksimum 20% daripada nilai pembiayaan yang diberikan.

Ini akan membolehkan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) membuat pembelian mesin, peningkatan adaptasi teknologi dalam perniagaan dan membantu dalam mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

Pelanggan juga berpeluang mengikuti program bimbingan keusahawanan dan pembangunan kapasiti secara percuma di bawah anak syarikat SME Bank, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR).

Kemudahan pembiayaan tersebut juga boleh mendapat jaminan sehingga 80% daripada Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).

“Kami percaya, dengan adanya Pembiayaan Padanan Geran PEMERKASA SME Bank ini, transformasi perniagaan sektor 3D seperti yang dirancang oleh kerajaan akan dapat direalisasikan dengan lebih cepat sekali gus menarik lebih ramai rakyat tempatan untuk menyertai sektor 3D ini.” kata Aria.-SM

 

 

(Visited 108 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button