Ekonomi

Sektor mekanikal, elektrik mungkin tidak dapat bertahan – MCMEA

SEKTOR mekanikal dan elektrik sedang mengalami tekanan yang akan mengakibatkan perniagaan tidak lagi dapat bertahan berikutan segmen berkaitan pembuatan, rantaian bekalan serta penyelenggaraan tidak dibenarkan beroperasi, menurut Majlis Persatuan Mekanikal dan Elektrik Malaysia (MCMEA).

Pengerusi, Michelle Hah berkata walaupun sebahagian ahli persatuan tergolong dalam kumpulan perkhidmatan penting dan sokongan kritikal namun mereka tidak memperoleh kelulusan untuk beroperasi sejak 1 Jun.

Beliau berkata ahli ini membekalkan peralatan dan komponen persisian penggantian elektrik kepada industri penting untuk kesinambungan bekalan elektrik kepada semua industri, kilang, pembetungan dan loji rawatan air serta bangunan penting seperti hospital.

Walaupun ahli perkhidmatan mekanikal dan elektrik (merangkumi kontraktor, jurutera perkhidmatan, penyepadu, petugas penyelenggaraan dan pekerja kompeten) di bawah MCMEA diminta untuk menjalankan kerja keselamatan dan penyenggaraan penting namun banyak yang telah ditolak oleh Sistem Pengurusan Pintar COVID-19 (CIMS) 3.0, katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata disebabkan kerja keselamatan dan penyenggaraan tidak dapat dilakukan, banyak kilang, kemudahan dan bangunan penting akan mengalami kegagalan elektrik, penggera salah dan kerosakan.


“Ini akan menjejaskan antaranya pusat data, penyimpanan makanan, unit rawatan rapi di hospital dan sistem pengudaraan di pusat pemberian vaksin,” katanya.

Hah berkata perniagaan ahli terjejas teruk berikutan sekatan pergerakan yang berterusan, mengalami kerugian serius dan kekangan aliran tunai, yang boleh menyebabkan tujuh juta pekerja kehilangan pekerjaan.

“Kami menjangkakan kadar pengangguran meningkat untuk mencatatkan lebih satu juta pada Ogos,” katanya.

Persatuan ini menggesa kerajaan mempercepat dan mengutamakan pemberian vaksin kepada pekerja dalam industri itu selain membenarkan perniagaan kembali beroperasi, sekali gus membantu mengurangkan kadar pengangguran dan pemulihan ekonomi negara.

“Vaksinasi adalah jalan untuk menyelamatkan nyawa dan pendapatan kerana kita harus hidup dengan virus ini dalam masyarakat,” katanya.

MCMEA merupakan gabungan enam persatuan yang merangkumi lebih 3,000 syarikat ahli dengan lebih 100,000 pekerja. – BERNAMA

(Visited 155 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button