fbpx
Luar Negara

Ribuan penunjuk perasaan di Belgrade bantah langkah pencegahan baharu Covid-19

RIBUAN penunjuk perasaan mengadakan bantahan di ibu kota Serbia semalam selepas kerajaan memutuskan mengenakan langkah-langkah pencegahan baharu untuk membendung peningkatan kes Covid-19,  lapor Agensi Berita Anadolu.

Tunjuk perasaan yang bermula petang kelmarin (Selasa) di Belgrade, merebak ke bandar besar lain termasuk Nis, Kragujevac dan Novi Sad.

Sebilangan besar penunjuk perasaan berkumpul di hadapan bangunan parlimen di Belgrade dan bertempur dengan polis ketika cuba memasuki bangunan itu menyebabkan lalu lintas terpaksa dihentikan.

Demonstrasi meletus selepas Presiden Aleksandar Vucic kelmarin mengumumkan perintah berkurung hujung minggu akan dikuat kuasa semula.

Terdahulu, semalam, Vucic menegaskan beliau tidak akan membiarkan mana-mana pihak atau individu menghancurkan keamanan dan kestabilan di Serbia.


Tambah beliau, perintah berkurung yang diumumkannya mungkin tidak akan diteruskan.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Nebojsa Stefanovic berkata, rusuhan di Belgrade dan bandar-bandar lain di Serbia menunjukkan hasrat untuk mengambil alih kuasa secara paksa.

Beliau berkata, penunjuk perasaan turut menyerang anggota polis dengan menggunakan pelbagai objek menyebabkan 10 anggota dan seorang pegawai turut cedera.

Bagaimanapun, polis berjaya mengawal keadaan, katanya.

Serbia merekodkan 17,076 kes COVID-19 dan 341 kematian sementara kes sembuh berjumlah 13,562, menurut data Johns Hopkins University. – BERNAMA-SM

Show More

Related Articles

Back to top button