Luar Negara

Bekas pegawai bank disabit kesalahan isu 1MDB

BEKAS pegawai bank Goldman Sachs (GS.N), Roger Ng disabitkan kesalahan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Brooklyn (EDNY) di Brooklyn, New York, Amerika Syarikat atas tuduhan rasuah berkaitan peranannya dalam membantu merompak ratusan juta Dolar daripada dana pembangunan 1MDB Malaysia.

Ng, bekas jurubank pelaburan terkemuka Goldman untuk Malaysia, didakwa bersubahat melanggar undang-undang anti-rasuah dan pengubahan wang haram.

Mereka berkata dia membantu bekas majikannya Tim Leissner dalam aktiviti menggelapkan wang daripada dana, pengubahan wang haram dan terlibat rasuah untuk memenangi perniagaan untuk Goldman.

Ng, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

Sementara itu, peguamnya, Marc Agnifilo berkata pengakuan Leissner atas pertuduhan yang sama pada 2018 kononnya ingin membantu penyiasatan pendakwa raya, secara palsu membabitkan Ng dengan harapan dapat mengurangkan hukuman ke atasnya.

Pihak pengadilan mensabitkan dua pertuduhan konspirasi ke atas Ng kerana melanggar Akta Amalan Rasuah Asing (FCPA) melalui rasuah dan memintas kawalan perakaunan dalaman Goldman, serta satu pertuduhan melakukan pengubahan wang haram.

“Keputusan hari ini adalah kemenangan bukan sahaja untuk kedaulatan undang-undang, tetapi juga untuk rakyat Malaysia.

“Defendan dan konco-konconya melihat 1MDB bukan sebagai entiti untuk berbuat baik kepada rakyat Malaysia, tetapi sebagai tabung simpanan untuk memperkayakan diri mereka sendiri.” kata Peguam Amerika Syarikat (A.S), Breon Peace dalam satu kenyataan.

Hakim Daerah A.S, Margo Brodie, yang menyelia kes itu, memerintahkan Ng dikenakan perintah berkurung sementara menunggu hukuman dikenakan.

Menurut Agnifilo, anak guamnya itu boleh membuat rayuan kepada mahkamah bergantung kepada keputusan usul selepas perbicaraan dan hukuman yang bakal dikenakan.

Tambahnya, dia mempunyai peluang yang lebih baik untuk perbicaraan yang adil di Amerika Syarikat berbanding di Malaysia.

“Ini merupakan kes besar dan ia sukar untuk dimenangi,” kata Agnifilo kepada pemberita.

Pendakwa raya berkata Goldman membantu 1MDB mengumpul USD 6.5 bilion melalui tiga jualan bon, tetapi USD 4.5 bilion itu dialihkan kepada pegawai kerajaan, jurubank dan rakan sekutu mereka melalui rasuah dan sogokan antara 2009 dan 2015.

Ng ialah orang pertama, dan mungkin sahaja, yang menghadapi perbicaraan di Amerika Syarikat berhubung skim itu.

Goldman pada 2020 membayar denda hampir USD 3 bilion dan bersetuju untuk mengaku bersalah.

Justeru Juri mendengar sembilan hari keterangan daripada Leissner, yang berkata dia menghantar Ng sebanyak USD 35 juta sebagai sogokan.

Leissner dalam keterangan tersebut berkata lelaki itu bersetuju untuk memberitahu bank “cerita palsu” bahawa wang itu adalah daripada usaha perniagaan yang sah antara isteri mereka.

Namun Isteri Ng, Hwee Bin Lim, kemudian memberi keterangan untuk pembelaan bahawa usaha perniagaan itu, sebenarnya sah dan berkata dia melabur sebanyak USD 6 juta pada pertengahan tahun 2000-an dalam sebuah syarikat China yang dimiliki oleh keluarga isteri Leissner, Judy Chan ketika itu, dan jumlah USD 35 juta itu adalah pulangannya daripada pelaburan itu.

Agnifilo berkata dalam hujah penutupnya pada hari Isnin bahawa Leissner tidak boleh dipercayai. Alixandra Smith, seorang pendakwa, berkata dalam rumusannya bahawa keterangan Leissner disokong oleh bukti lain.

Jho Low, seorang pembiaya Malaysia dan disyaki dalang skim itu, telah didakwa bersama Ng pada 2018 tetapi masih bebas. – REUTERS – SM

(Visited 779 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button