JenayahNasional

Menyamar jadi polis, lelaki dihukum penjara 12 bulan

Seorang bapa tiga anak dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret atas empat pertuduhan termasuk menyamar sebagai pegawai polis dan menggunakan kekerasan jenayah terhadap anggota polis dalam satu insiden pergelutan di sebuah kondominium, tiga tahun lepas.

Hakimi Aiman Hussin, 32, juga didenda maksimum RM100 kerana memaki polis di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1995 dalam kejadian sama.

Majistret Muhammad Iskandar Zainol menjatuhkan hukuman itu ke atas Hakimi selepas dia menukar pengakuannya kepada bersalah terhadap kelima-lima pertuduhan pada sebutan kes hari ini.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara masing-masing 12 bulan bagi empat kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara serentak bermula dari tarikh tangkap pada 28 Okt 2020.

Hakimi didakwa atas dua pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan dua anggota polis A Saravanan dan Muhammad Azuwan Ahmad daripada menjalankan kewajipan mereka mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dia turut dituduh atas satu pertuduhan mengugut untuk menumbuk warga emas, K Paramavaran, 62, mengikut Seksyen 506 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Tertuduh juga didakwa menyamar sebagai penjawat awam dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Unit Khas, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman kepada Paramavaran mengikut Seksyen 170 kanun serupa yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Hakimi turut didakwa berkelakuan kurang sopan dengan memaki Saravanan mengikut Seksyen 14 yang membawa hukuman denda maksimum RM100. Semua kesalahan itu dilakukan di pintu masuk utama sebuah kondominium di Empire Damansara, di sini, pada 2 pagi, 28 Okt 2020.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh yang berada dalam keadaan mabuk tidak berpuas hati dengan tindakan pihak polis dan pengawal keselamatan yang tidak membenarkannya masuk ke kawasan lobi kondominium tersebut kerana tidak mempunyai kad akses.

Pihak polis kemudian menasihatinya untuk beredar namun tertuduh yang tidak berpuas hati telah memaki dan cuba untuk menendang dan menumbuk anggota polis sebelum dia ditahan setelah pergelutan berlaku antara mereka.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Khairun Nisa Noor Harun memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh, namun peguam Fadhli Sutris yang mewakili Hakimi memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya telah insaf.

Tertuduh masih dalam tahanan reman polis atas satu kes berhubung dadah yang kini sedang berjalan di Mahkamah Tinggi Shah Alam. – SUMBER FMT – SM

BACA Menyamar jadi pengarah di KDN dan tipu wang artis, ‘Datuk Seri’ ditahan!

BACA Menyamar jadi gadis berhijab, Angela Nikolau siap kongsi gambar baring berbogel!

(Visited 98 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button