Luar Negara

Thailand rancang beri vaksin kepada 5.2 juta murid

THAILAND merancang untuk memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada 5.2 juta murid di negara gajah putih itu yang berumur antara lima hingga 11 tahun.

Jurucakap kerajaan, Thanakorn Wangboonkongchana berkata, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha telah mengarahkan Kementerian Pendidikan untuk menjelaskan kepada ibu bapa supaya membenarkan anak-anak mereka disuntik.

Wangboonkongchana dalam satu kenyataannya berkata, Kementerian Pendidikan dijangka membuka pendaftaran vaksin dalam talian untuk kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun menjelang akhir bulan ini.

Sementara itu, Pengarah Biro Komunikasi Risiko dan Pembangunan Tingkah Laku Kesihatan Jabatan Kawalan Penyakit, Dr. Sumanee Watcharasin berkata, kerajaan mendapatkan vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 untuk kumpulan kanak-kanak itu.

Beliau berkata, vaksin itu dijangka tiba akhir bulan ini atau awal bulan depan.


“Suntikan vaksin akan bermula dengan kanak-kanak berumur 11 tahun dan diikuti urutan umur mereka,” katanya.

Bulan lalu, Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Thailand meluluskan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 untuk kanak-kanak berumur antara lima dan 11 tahun.

Sementara itu, Dr. Sumanee berkata, walaupun kes Covid-19 dikesan di sekolah, belum ada rancangan untuk menutupnya kerana sekolah telah melaksanakan langkah kawalan yang berkesan untuk membendung penularan Covid-19.

Sehingga Selasa, 95% pelajar berumur 12 tahun ke atas sudah menerima suntikan dos pertama Covid-19 manakala 70% lengkap divaksin. – SM

(Visited 13 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button