Alam Sekitar

Raja Muda Perlis ingatkan masyarakat supaya jaga kebersihan

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan masyarakat bahawa kawasan persekitaran yang tidak bersih boleh menyebabkan kehadiran vektor seperti tikus, lalat dan nyamuk yang menjadi punca kepada penularan pelbagai wabak penyakit dengan mudah.

Penyakit bawaan vektor seperti demam denggi, malaria dan leptospirosis atau nama lainnya ‘kencing tikus’ yang berpunca daripada persekitaran yang tidak bersih turut menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan rakyat. Justeru, isu dan cabaran yang dihadapi dalam menjadikan Perlis sebagai sebuah negeri yang lebih bersih perlulah diberi perhatian serius oleh semua pihak khususnya pengetua dan guru besar sekolah, kepimpinan penduduk setempat serta ketua bagi setiap isi keluarga dalam memastikan amalan menjaga kebersihan ini benar-benar dipraktikkan di segenap peringkat.

Menurut baginda melalui titah perutusan yang disiarkan oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis itu lagi, ‘Pada masa ini, terdapat pelbagai isu kebersihan seperti pembuangan sampah yang tidak terurus dan tabiat membuang sampah merata-rata. Sikap buruk masyarakat sebegini yang tidak mementingkan penjagaan alam sekitar boleh menimbulkan impak negatif dalam mewujudkan persekitaran yang kondusif dan sejahtera’.

‘Sesungguhnya persekitaran yang tidak bersih akibat pembuangan sampah sarap boleh menyebabkan timbulnya pencemaran alam sekitar dan kacau ganggu kepada persekitaran’ tegas Tuanku Raja Muda.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri, Azman Shah Ismail mengajak seluruh rakyat negeri ini untuk menyahut seruan kerajaan melalui ‘Program Penghijauan Malaysia : Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025’.


Beliau turut mengulangi peringatan dan titahsaranan Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Pengerusi yayasan berkenaan sempena kempen ‘Perlis Hebat : Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan’ baru-baru ini bahawa antara aktiviti yang boleh dilaksanakan di setiap rumah yang mempunyai kawasan halaman ialah bercucuk tanam yang secara tidak langsung akan mampu mengubah landskap sekeliling rumah masung-masing menjadi bersih, kemas dan tersusun. Hasil tanaman yang diperolehi kelak lebih diyakini dan bebas bahan kimia yang memudaratkan. Sekiranya terdapat lebihan pula boleh dijual kepada orang lain. Semua aktiviti fizikal yang dijalankan ini juga ialah sebagai alternatif senaman kesihatan selain mengeratkan hubungan bersama keluarga’.

(Visited 87 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button