Alam Sekitar

54 pokok ditanam di Kampung Seberang Jaya

Sebanyak 54 pohon pokok Bunga Tanjung ditanam di kawasan Kg Seberang Jaya Kuala Perlis bagi memberikan perlindungan daripada tiupan angin kencang yang sering bertiup di kawasan berkenaan yang merupakan salah sebuah kampung yang terlibat dengan Projek DiRaja Kg Warna-Warni Program Transformasi Kampung Seberang Ramai Kuala Perlis yang dilaksanakan secara bersama oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama pelbagai agensi, Pasukan Keselamatan, IPT dan juga pihak swasta.

Pokok-pokok yang disumbangkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri tersebut apabila besar kelak diharap akan membantu bertindak sebagai penampan atau pemecah angin bagi megurangkan kesan langsung kepada kawasan perumahan jika berlaku angin kencang.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail petang semalam berkenan berangkat menyempurnakan simbolik penanaman pokok ke 54 di kawasan tersebut.

Menurut Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri, Ag. Shaffie Ag. Ahmadni yang hadir menyambut keberangkatan baginda, jumlah 54 pohon pokok dipilih adalah bagi mengambil sempena usia Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda yang baru sahaja menyambut Hari Ulangtahun ke 54 pada 30 Disember 2021 baru-baru ini.

Tambah Ag. Shaffie, pelaksanaan penanaman pokok pada kali ini juga adalah sebahagian daripada ‘Kempen Penghijauan Malaysia : Penanaman 100 Juta Pokok’ bertujuan untuk meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai pentingnya kawasan litupan hijau dan hutan untuk kesejahteraan dan kualiti hidup selain usaha untuk menambahbaik ekosistem dan biodiversiti negara kita.

Sementara itu, Tuanku Raja Muda mengajak seluruh lapisan rakyat untuk sama-sama menjayakan kempen ini kerana komitmen dan penglibatan semua pihak amat diperlukan. Titah Tuanku Syed Faizuddin Putra, ‘Marilah kita sama-sama menyokong usaha Kempen Penghijauan Malaysia dengan membudayakan amalan menanam pokok untuk kehidupan yang lebih sejahtera bagi generasi kini dan akan datang sesuai dengan slogan “Pokok kita kehidupan kita”.

(Visited 165 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button