JenayahNasionalNegeri

Penyeludup simpan tiga tong drum petrol dalam ladang getah dibongkar

ADA sahaja muslihat yang digunakan oleh penyeludup bagi menutup kegiatan haram dari dikesan oleh pihak berkuasa. Terbaharu sebuah stor di dalam sebuah ladang getah dijadikan sebagai tempat menyimpan minyak petrol untuk diseludup.

Kegiatan ini telah dibongkar oleh pasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar setelah dua minggu melakukan intipan ke atas lokasi yang disyaki.

MOHD SHOKRI ABDULLAH

Berikutan itu Ketua Polis Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, pasukannya telah menyerbu ke lokasi berkenaan di Kampung Kok Mak, Padang Besar pada pukul 5.45 petang semalam.

“Setor ini terletak kira-kira 500 meter dari jalan utama tetapi berada dalam kedudukan jauh dari kawasan perumahan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, serentak dengan serbuan itu seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang dipercayai pemilik setor ditahan.

Mohd Shokri berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat tiga tong drum berisi minyak petrol.

“Kita merampas minyak petrol (540 liter), seunit pam sedut minyak dan dua unit hose getah yang kesemuanya bernilai RM2,228,” katanya.

Beliau berkata, rampasan telah diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis untuk tindakan lanjut.

Mohd Shokri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan Kawalan Bekalan 194 membabitkan urus niaga barang kawalan berjadual ‘LPG’ tanpa lesen yang sah.

Tambah beliau, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau keduanya.

Mohd Shokri juga memberi amaran kepada mana-mana individu yang terlibat dalam penyimpanan secara tidak sah atau menyeludup apa-apa barang bersubsidi akan diambil tindakan tegas di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.

Katanya, polis Padang Besar akan terus fokus bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam kekal terpelihara.

“Pihak polis Padang Besar juga menyeru masyarakat setempat untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah atau dadah di talian hotline +60 4942222. – SM

(Visited 267 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button