fbpx
NasionalRencana

Permai: Bantuan perlu lebih spesifik, terus kepada rakyat

Analisis

SELEPAS mendengar pengumuman mengenai bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) semalam, menandakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)2.0 akan dilanjutkan.

Tidak mungkin PKP2.0 akan tamat pada 26 Januari ini dan penguatkuasaannya dijangka akan berlarutan enam minggu hingga tiga atau empat bulan.

Tetapi, jika jangkaannya lebih daripada sebulan, adalah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan mengumumkan bantuan lain seperti Permai 2.0 dan sebagainya?

Ini kerana, berdasarkan kepada pengumuman semalam dan melihat kepada reaksi rakyat Malaysia menerusi media sosial dan perbincangan dalam kumpulan WhatsApp, mereka tidak gembira.

Sebaliknya, mereka semakin risau kerana tiada bantuan secara spesifik yang sampai terus kepada rakyat tidak menjadi agenda utama.


Kerajaan menguatkuasakan undang-undang termasuk melaksana Ordinan Darurat yang memberi kuasa penuh kepada Perdana Menteri, tetapi rakyat berada dalam kebimbangan.

Bantuan seperti pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui program i-Sinar tidak dibuka secara meluas, pendahuluan RM1,000 kepada pemohon Kategori 2 juga tidak melegakan.

Begitu juga dengan moratorium pinjaman yang diharap dapat dilaksanakan secara automatik seperti tahun lepas pun tidak diumum.

Itu semua kehendak rakyat, dahulu ketika kes baharu Koronavirus (Covid-19) hanya mencatatkan tiga angka dan tiada Perintah Darurat, boleh diberi, kenapa bila kes baharu mencecah empat angka dengan Perintah Darurat dan bencana banjir, tidak boleh diberi secara automatik?

Selain itu, turut menjadi tanda tanya dalam kalangan rakyat adalah, Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang diumum oleh kerajaan bagi fasa kedua bayaran kedua diawalkan bayaran mulai 21 Januari.

Itupun tidak melegakan, kerana bayaran kedua ini cuma RM300 sahaja. Selepas itu, adakah akan ada BPN3.0? Kerana kalau hendak harapkan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) berapa ramai sahaja yang layak?

Kerajaan perlu sedar dan dengar betul-betul keluhan rakyat, pengecualian dan pengurangan cukai itu bukan bantuan spesifik dan tidak semua rakyat pun mampu membayar cukai terutama melibatkan pembelian barangan seperti telefon bimbit dan komputer.

Siapa yang ketika ini mahu membeli telefon bimbit, komputer dan membuat pinjaman bagi memiliki kereta baharu untuk mendapatkan rebat, pengecualian atau pengurangan cukai?

Rakyat mahukan bantuan yang benar-benar sampai kepada mereka supaya dapat menarik nafas lega dan yakin untuk menghadapi PKP2.0 dan secara tidak langsung dapat membendung penularan wabak Covid-19. – SM

(Visited 259 times, 1 visits today)

Show More

Mohamad Athir Ismail

Berpengalaman lapan tahun dalam bidang kewartawanan termasuk penerbitan majalah, surat khabar dan portal berita. Sebelum menyertai Suara Merdeka, beliau pernah berhidmat di pelbagai syarikat penerbitan. Berminat meneroka bidang kewartawanan untuk perniagaan.

Related Articles

Back to top button