Nasional

Zoo Negara dah kutip sebanyak RM10.6 sumbangan daripada pelbagai pihak

Zoo Negara telah mengumpul sumbangan sebanyak RM10.6 juta daripada pelbagai pihak dalam bentuk kewangan dan makanan haiwan sejak Januari hingga September lalu.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, jumlah itu sepatutnnya
adalah lebih daripada mencukupi untuk menampung keperluan makanan haiwan berdasarkan rekod perbelanjaan Zoo Negara.

“Zoo Negara hendaklah menguruskan sumbangan yang diterima secara telus dan berhemah.

“Kita tidak pernah ketinggalan dalam membantu Zoo Negara walaupun ia dimiliki oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan beroperasi sebagai entiti perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasara

Beliau mengulas berkenaan dengan kemelut kewangan yang dihadapi Zoo Negara untuk terus beroperasi dalam situasi dunia dilanda pandemik Covid-19.

Zoo Negara juga seperti dilaporkan media sebelum ini meminta kerajaan untuk mempertimbangkan
kadar yang lebih rendah terhadap bayaran elektrik untuk mengurangkan kos pengurusan Giant Panda.

Malah, Persatuan Haiwan Malaysia juga mendesak supaya Giant Panda dipulangkan ke negara asalnya berikutan kos pengurusan yang terlalu tinggi.

Menurut Shamsul Anuar, Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar sebanyak RM1.3 juta telah disalurkan kepada Zoo Negara pada 10 April 2020 untuk menampung keperluan bekalan makanan hidupan liar, pengurusan husbandri dan ubat-ubatan.

Malah, diskaun 15% bil elektrik secara bulanan selama enam bulan juga telah diberikan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE 1.0).

“Bantuan Kerajaan kepada Zoo Negara bukan sahaja dilaksanakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan(PKP), sebaliknya peruntukan kewangan telah disalur sejak awal penubuhan Zoo Negara.

“Setakat ini Kerajaan telah menyediakan peruntukan lebih RM50 juta bagi pelbagai projek menaik taraf Zoo Negara sejak Rancangan Malaysia Ke-7,” katanya.

Mengulas berkenaan penghantaran pulang anak Giant Panda bagi mengurangkan kos operasi, jelas beliau, pihaknya akan melaksanakan penghantaran pulang Yi Yi secepat mungkin selepas tarikh dipersetujui oleh China.

Ujarnya, setiap anak Giant Panda perlu dihantar pulang ke China apabila usia mencecah 24 bulan dan tidak melebihi usia 4 tahun dan seekor daripadanya iaitu Nuan Nuan telah dihantar pulang pada tahun 2017.

“Yi Yi pula berusia genap dua tahun pada 14 Januari 2020 dan sepatutnya dihantar pulang ke RRC pada April 2020 tetapi terpaksa ditangguhkan sehingga kini kerana pusat konservasi di China masih
ditutup berikutan pandemik COVID-19,” ujarnya.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata pihaknya akan mengadakan satu pertemuan dengan pengurusan Zoo Negara pada khamis ini.

Tambahnya, pertemuan itu untuk membincangkan mekanisme pengukuhan operasi Zoo Negara khususnya dalam aspek tadbir urus supaya lebih berdaya maju dan pada masa yang sama memastikan kebajikan hidupan liar sentiasa terpelihara. -SM

(Visited 813 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button