AgamaRencah Hidup

Yayasan Ikhlas sasar bantu 25,000 golongan memerlukan

MENERUSKAN tradisi dan sisi murni yang diusahakan sejak tahun 2014, projek Kasih Ramadan inisiatif Yayasan Ikhlas (YI) diteruskan Ramadan tahun ini untuk edisi kesembilan.

Projek ini diusahakan bagi membantu golongan anak yatim, asnaf dan keluarga di Malaysia yang menempuhi kesusahan di bulan puasa.

Tahun lalu seramai 36,689 penerima manfaat di kalangan asnaf, anak yatim, ibu tunggal, OKU dan pesakit dibantu menerusi projek sama dengan menyasarkan golongan berkenaan untuk pemberian pek barangan asas, tajaan sahur dan berbuka serta sumbangan raya.

Pengerusi Yayasan Ikhlas, Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin

Menurut Pengerusi YI, Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin, tahun lalu bantuan disalurkan  merangkumi 146 buah tempat di seluruh Malaysia serta Sabah dan Sarawak.

Katanya lagi, tahun ini sudah 15691 penerima sudah menerima manfaat itu dengan jumlah sasaran keseluruhan 25,000.

“Tahun ini kita teruskan bantuan termasuk di sekitar Lembah Klang. Malah khidmat penyampai radio Hot FM, Fizi Ali turut digunakan sebagai perantara memeriahkan projek ini dengan turun padang ke lokasi berkenaan.

“Tiga bantuan disalurkan termasuk pertama kotak makanan mengandungi barang keperluan harian bernilai RM100 bagi setiap keluarga. Ia termasuklah sekampit beras, sepaket bihun dengan berat 400 gram, minyak masak, tepung gandum, gula, kicap, sos cili, kordial berperisa dan sekotak kurma.

“Kedua, pek Iftar dan Sahur yang siap dimasak diagihkan kepada anak yatim dan keluarga asnaf. Ketiga, set kelengkapan raya bernilai RM200 seperti baju, biskut dan sumbangan duit,” katanya.

Kempen Kasih Ramadan diadakan untuk membantu mereka yang memerlukan

Menurut Prof Dr Zainur, nilai yang diagih mungkin kecil di mata kita, namun besar ertinya bagi yang memerlukan.

Malah selepas Fizi, beberapa orang selebriti dan pempengaruh akan meneruskan projek amal ini di lokasi berbeza.

“Siapa mampu menyangka dengan bantuan satu beg ini boleh memberi kegembiraan tak terkata kepada mereka. Mungkin bagi kita, ia nampak biasa dan remeh. Tetapi bagi yang menerima, ia amat berharga.

“Malah Fizi turut mengambil cakna meminta orang ramai menghulurkan sumbangan dan bantuan. Ke depan nanti ada lagi pembabitan selebriti dan pempengaruh melakukan projek seterusnya.

Fizi Ali menyerahkan barangan Kasih Ramadan kepada salah seorang penerima

“Untuk menyumbang boleh layari pautan https://yikhlas.news/kasihramadan atau terus hulurkan sumbangan ke akaun bank YI (Maybank) 562834636228 di bawah rujukan kasihramadan23,” katanya.

Dalam pada itu, sejak ditubuhkan pada 5 Mac 2009, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini terus berbakti meringankan kesusahan mereka yang memerlukan.

Ditubuhkan mengikut Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 (Akta 258), yayasan ini  cukup sinonim membantu golongan anak yatim, orang kurang upaya (OKU), fakir dan mereka yang dilanda musibah serta malapetaka.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Fizi Ali (@fiziali_)

Malah di samping itu, yayasan yang berpaksikan empat teras iaitu komuniti, pendidikan, kesihatan dan pengurusan bencana ini turut menawarkan biasiswa atau insentif kepada individu mahupun berkumpulan  bagi kerja pelajaran dan pendidikan di Malaysia.

Hingga kini sejak penubuhannya, Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin selaku Pengerusi YI berkata, seramai 385,904 orang dan 29 agensi kerajaan sudah menerima manfaat dan bantuan yang disalurkan.

“Mereka yang dibantu termasuklah pesakit COVID-19, anak yatim, masyarakat pedalaman berbilang kaum dan agama di semenanjung termasuk Sabah serta Sarawak.

“Tak lupa pesakit Cerebral Palsy, OKU, ibu tunggal, mangsa kebakaran, mangsa banjir, pelajar universiti, bekas atlet, bekas wartawan dan ramai lagi.

Majlis berbuka puasa dianjurkan YI untuk mereka yang memerlukan

“Kita mahu terus berbakti menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan. Malah misi kita mahu menjadi sebuah yayasan global yang memberi perkhidmatan tanpa batas waktu dan tempat menjelang 2030,” katanya.

Projek YI rata-ratanya digerakkan menerusi 5783 sukarelawan berdaftar di lapan cawangan negeri termasuk di Ipoh (Perak), Kuching (Sarawak), Sandakan, Semporna dan Kota Kinabalu (Sabah), Bangi (Selangor), Alor Setar (Kedah) selain Johor Bahru.

Malah, YI turut berbangga dan bersyukur kerana kejayaan memanjangkan bantuan banjir kepada lokasi yang terkesan.

“Menariknya, YI turut menubuhkan Civil Defence Emergency Response Team (CDERT) di bawah Angkatan Pertahanan Awam (APM) sejak 2019. CDERT YI turut melaksanakan Psychological First Aid (PFA) dengan pelaksanaan Modul Kit Emosi di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Malah turut berjaya memasuki sekitar 42 kawasan bencana banjir membabitkan aktiviti PFA selain pembersihan rumah mangsa banjir, mengagihkan dapur memasak dipanggil Dapur Ikhlas serta sumbangan barangan kepada mangsa banjir.

“Pembabitan sukarelawan membabitkan seramai 604 orang rakyat Malaysia termasuk pempengaruh dan artis seperti Bell Ngasri, Farah Lee, Alif Teega, Aisyah Hijanah dan ikon Kementerian Belia dan Sukan, Muhammad Haziq Abd Rahim,” katanya. – SM

Artikel berkaitan > Yayasan Ikhlas sasar kutipan RM300,000

(Visited 107 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button