Nasional

KWSP catat pendapatan pelaburan RM33.19 bilion

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM33.19 bilion bagi separuh tahun pertama berakhir 30 Jun 2023 (1H 2023), peningkatan sebanyak RM9.44 bilion berbanding RM23.75 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada 2022.

Jumlah itu adalah selepas mengambil kira turun nilai kos ke atas ekuiti tersenarai yang direkodkan untuk tempoh tersebut, kata KWSP dalam satu kenyataan, hari ini.

Daripada jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM33.19 bilion, RM4.79 bilion mewakili keuntungan ‘mark-to-market’ (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan.

Keuntungan MTM disumbangkan oleh turun naik pertukaran mata wang asing.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, prestasi pasaran ekuiti global pada separuh tahun pertama 2023 adalah positif diterajui oleh pasaran maju khususnya di Amerika Syarikat (AS) yang terus menunjukkan daya tahan walaupun kadar faedah meningkat.

“Ketangkasan dan kebolehsuaian KWSP dalam strategi pelaburannya membuka ruang kepada pengurus pelaburan untuk memanfaatkan peningkatan pasaran, sekali gus menyumbang kepada pulangan yang lebih tinggi daripada ekuiti dalam tempoh tersebut.

“Ini berbeza dengan prestasi pasaran ekuiti yang dilihat pada separuh tahun pertama 2022, yang menyaksikan beberapa indeks mengalami kemerosotan yang ketara, dengan kebanyakan pasaran termasuk AS mencatatkan prestasi separuh pertama terburuk mereka dalam beberapa dekad,” tambah beliau.

Amir Hamzah berkata, bagi Malaysia, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 5.6 peratus pada suku tahun pertama 2023 telah melangkaui jangkaan, didorong khususnya oleh permintaan domestik yang kukuh dan peningkatan dalam pasaran buruh.

“Pertumbuhan yang berdaya tahan telah meredakan keadaan kewangan yang ketat, seterusnya memberikan ruang kepada pasaran modal domestik,” katanya. – SM

BACA Kerajaan setuju KWSP laksana pengeluaran bulanan

(Visited 126 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button