Politik

ADUN Bemban dari PN jadi ketua pembangkang

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub dilantik sebagai Ketua Pembangkang yang baharu selepas lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pakatan Harapan (PH) duduk di blok kerajaan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggal Ke-15 bermula semalam.

Beliau yang juga ADUN Bemban berkata, beliau mengambil alih tugas sebagai ketua pembangkang daripada Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari selepas PH mengesahkan membentuk Kerajaan Perpaduan dengan Barisan Nasional (BN) di negeri ini.

“Secara automatiknya saya dengan ADUN Sungai Udang, Dr. Mohd. Aleef Yusof hanya dua wakil pembangkang yang berada dalam dewan.

“Kami kekal sebagai pembangkang supaya dapat melakukan proses semak dan imbang kepada kerajaan sedia ada bagi memastikan pentadbiran berjalan dengan baik, telus dan kurang ketirisan yang berlaku demi menjamin kesejahteraan rakyat.

“Kedudukan saya di dalam dewan juga telah berubah, saya sendiri telah duduk di kerusi paling hujung sekali sebagai ketua pembangkang,” ujarnya kepada pemberita selepas Persidangan Keempat (Bajet), Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Melaka Yang Kelima Belas, di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka di sini hari ini.

Terdahulu, PH Melaka hari ini mengesahkan membentuk Kerajaan Perpaduan bersama BN di negeri ini selaras dengan perkembangan politik semasa di peringkat Persekutuan.

Adly berkata, hasil pertemuan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali telah mencapai kata sepakat untuk mengangkat semangat Kerajaan Perpaduan di negeri ini.

Mengulas lanjut, Yadzil yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka, walaupun hanya mempunyai dua suara di dalam DUN, beliau akan berusaha menjadi pembangkang yang lebih aktif.

Katanya, mereka akan melaksanakan tanggungjawab dengan berperanan semak dan imbang untuk memastikan kerajaan berjalan dengan baik, telus dan kurangkan ketirisan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

“Walaupun hanya saya dan Mohd Aleef, tapi kita tiada masalah boleh berbual dengan rakan dari PH mereka tetap menyuarakan isu-isu yang timbul menggambarkan jiwa pembangkang itu masih ada,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka November tahun lalu, Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan besar apabila menang 21 daripada 28 kerusi manakala PH (lima) dan PN dua kerusi. – SM

(Visited 308 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button