Politik

Memang biasa pengundi bukan Melayu sokong kerajaan pada PRK – Mukhriz

PRESIDEN Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak gusar dengan kekalahan calon tajaan mereka pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim malam ini.

Katanya, mereka sudah membuat anggaran bahawa dalam sesuatu PRK pengundi akan mengekalkan calon kerajaan.

Katanya, itu tidak bermakna keradaan yang sama akan berulang pada pilihan raya umum nanti

“Pengundi bukan Melayu anggaran kami biasanya dalam satu pilihan raya kecil, mereka akan mengekalkan calon pihak kerajaan.

“Ini kerana sebarang peruntukan peringkat kerajaan negeri mahupun persekutuan akan terus disalurkan,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama, di Taman Slim Perdana, Slim River malam ini.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Dr. Amiruddin Hamzah dan Senator Datuk Marzuki Yahya.

PRK DUN Slim menyaksikan  Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi  itu dengan kemenangan besar dengan majoriti 10,945 undi.

Calonnya, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim Mohd Zaidi Aziz, 43, menang selepas memperoleh 13,060 undi, manakala pencabarnya dua calon Bebas iaitu peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, meraih 2,115 undi dan bekas guru S. Santharasekaran, 44, memperoleh 276 undi.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Shamsul Ridzuan Idris di pusat penjumlahan undi di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim di sini.

Shamsul Ridzuan berkata sebanyak 68.40 peratus pengundi keluar mengundi pada PRK itu dengan 327 kertas undi ditolak.

Keputusan malam ini menyaksikan Santharasekaran hilang deposit kerana gagal memperoleh lebih daripada 1/8 jumlah undi yang diterima oleh calon-calon bertanding.

Daftar pemilih DUN Slim melibatkan 22,749 pemilih biasa, 267 pengundi awal serta 78 orang mengundi secara pos.

Sementara itu Ketua Pembangkang Perak, Dr. Aziz Bari menyifatkan kekalahan calon tajaan Pejuang itu sebagai penolakan sepenuhnya para pengundi terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Katanya, masa depan adalah bersama Pakatan Harapan melalui sistem dua parti dan pengundi jelas menolak kemunculan parti serpihan.

Aziz berkata, pengundi menolak kononnya ada kuasa ketika yang man itu hanya mengelirukan mereka. – SM

 

(Visited 86 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button