Luar Negara

Pasar makanan laut Wuhan bukan satu-satunya punca penularan koronavirus

PASAR makanan laut di Wuhan, wilayah Hubei mungkin bukan satu-satunya sumber kepada penularan wabak novel koronavirus (2019-nCoV), kata pakar penyakit paru-paru di China, lapor agensi berita Xinhua.

Naib pengarah Hospital Wuhan Jinyintan, Huang Chaolin, dalam satu wawancara dengan majalah perniagaan Caixin baru-baru ini berkata, mungkin terdapat beberapa tempat lain virus itu mula-mula disebarkan kepada manusia.

Hospital itu antara pusat perubatan dikhaskan untuk merawat pesakit yang dijangkiti virus tersebut. Huang dan pasukannya baru-baru ini menerbitkan sebuah artikel di Lancet, jurnal perubatan umum terkemuka dunia, berkaitan beberapa penemuan awal mengenai data klinikal novel koronavirus membabitkan 41 kes yang terawal.

Pesakit pertama yang dimasukkan ke hospital Huang pada 1 Dis didapati tidak terdedah langsung dengan pasar borong makanan laut Huanan di Wuhan, sebelum ini dianggap sebagai lokasi penularan wabak dan keluarganya juga tidak mengalami gejala pernafasan atau demam.

Antara tiga pesakit lain yang diterima pada 10 Disember, dua tidak terdedah dengan pasar makanan laut itu. Secara keseluruhan hanya 27 daripada 41 kes yang mempunyai kaitan dengan pasar.

“Berdasarkan keseluruhan keadaan, pasar makanan laut bukanlah satu-satunya sumber (asal novel koronavirus), ia mungkin datang daripada pelbagai sumber,” kata Huang.

Tetapi tiada petunjuk ditemui mengenai sumber lain itu.

Pasar makanan laut Huanan terletak di kawasan pusat bandar daerah Jianghan, kurang satu kilometer dari stesen kereta api Hankou. Selain makanan laut, ayam dan daging turut dijual di pasar itu sebelum ia ditutup pada 1 Jan.

Pakar Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China sebelum ini berjaya mengasingkan sampel yang diperoleh dari pasar berkenaan. Sebanyak 33 daripada 585 sampel didapati mengandungi virus asid nukleik.

Sehingga Selasa, virus maut itu telah meragut 132 nyawa dan menjangkiti 5,974 orang di seluruh negeri China.
— BERNAMA

(Visited 147 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button