Nasional

Sabah wujud Tabung Wuhan China

KERAJAAN negeri Sabah mewujudkan Tabung Wuhan China sebagai tanda prihatin terhadap negara itu yang berhadapan wabak novel koronavirus 2019 (2019-nCoV).

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan negeri menyasarkan RM1 juta untuk kutipan tabung itu bagi disalurkan kepada China.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan aplikasi e-dompet ‘Sabah Pay’ di Kota Kinabalu, hari ini, Mohd Shafie berkata beliau telah menyatakan keprihatian kerajaan negeri kepada Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu, Liang Caide pada pertemuan mereka semalam.

Mohd Shafie Apdal
Mohd Shafie Apdal

Mengenai sektor pelancongan di Sabah berikutan langkah kerajaan negeri menggantung sementara kedatangan pelancong China, beliau berkata beberapa langkah lain diambil bagi meningkatkan kehadiran pelancongan negara lain seperti Korea dan Jepun serta Eropah.

Mohd Shafie berkata tumpuan juga diberi untuk menarik lebih ramai pelancong domestik datang ke negeri itu seperti dari Semenanjung dan Sarawak serta dari negara jiran seperti Brunei, Filipina, Indonesia dan Thailand.

Sementara itu Di TAWAU, Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata pengumpulan dana sejak semalam itu dijalankan dengan kerjasama badan bukan kerajaan di Kota Kinabalu, termasuk kutipan melalui majlis makan malam yang akan diadakan pada 18 Feb.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) negeri berkata pihaknya menyasarkan kutipan dana RM1 juta dalam tempoh seminggu bagi disalurkan kepada mangsa terjejas di China akibat wabak koronavirus.

“Langkah yang diambil kerajaan negeri ini sebagai tanda prihatin kami (Sabah) yang selama ini menikmati hubungan baik dengan China melalui Pejabat Konsulat di Kota Kinabalu, dalam keadaan kesusahan ketika ini, kami memanjangkan sokongan terhadap semua mangsa dan berdoa agar virus akan lenyap tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan bantuan persekolahan kepada murid-murid Sekolah Kebangsaan Batu 4 Apas di sini, hari ini.

Sementara itu, Liew berkata setakat semalam, 97 rakyat China yang terkandas di Sabah telah mendapatkan cop lanjutan visa pelancong selama seminggu.

Mengenai buruh warga China di Tawau yang pulang ke negara asal bagi sambutan Tahun Baharu Cina dan mahu kembali ke Tawau, beliau berkata perkara itu akan tertakluk kepada langkah pencegahan diambil kerajaan Sabah ketika ini.

“Mereka ini, ada pas pekerja di Tawau, akan tetapi sama ada mereka ini tidak dibenarkan masuk ke Sabah atau mereka akan dikuarantin… kami ambil langkah pencegahan,” katanya. – BERNAMA

 

(Visited 154 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button