Nasional

Jualan Murah Keluarga Malaysia di 639 DUN setiap minggu – Annuar Musa

PELAKSANAAN Program Jualan Murah Keluarga Malaysia akan diadakan di 639 Dewan Undangan Negeri (DUN) berjalan serentak di seluruh negara mulai pertengahan Ogos depan sehingga penghujung tahun ini.

Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata, program yang kian sampai ke penghujungnya akan bermula setiap minggu itu dan kali ini melibatkan lima kementerian.

Menurutnya, penglibatan lima kementerian itu kerana tidak mahu ia dipikul kepada bahu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semata-mata.

Beliau berkata, program kali ini akan melibatkan peniaga dan kehadiran pemimpin tempatan bagi membolehkan rakyat dapat membeli barangan keperluan pada harga yang lebih murah.

“Kalau dulu di satu kawasan Parlimen program ini diadakan dua kali dalam masa sebulan tetapi kali ini setiap minggu
di setiap DUN seluruh negara yang merupakan pertambahan lebih 500 peratus.

“Kita percaya kaedah ini akan memberi impak yang lebih berkesan sebagai salah satu daripada banyak lagi usaha-usaha yang sedang kita rancangkan.

“Usaha ini untuk membolehkan rakyat ada peluang untuk membeli barangan-barangan keperluan pada harga yang lebih murah,” ujarnya selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Selain KDPNHEP, empat kementerian yang akan mengembleng tenaga ialah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan; Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Annuar berkata, beliau berharap lima kementerian telah mula mengambil tindakan-tindakan berdasarkan satu garis panduan diterajui KPDNHEP.

Sementara beliau berkata, dalam mesyuarat tersebut juga telah menerima beberapa cadangan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan gerakan koperasi seluruh negara untuk menjual barangan keperluan termasuk yang berada dalam senarai barangan kawalan.

Menurutnya, jawatankuasa telah mendengar dengan panjang lebar beberapa syor yang dikemukakan mengenai kaedah-kaedah untuk menjual pelbagai barangan keperluan dengan harga yang murah daripada harga pasaran.

Beliau berkata, suruhanjaya itu telah memaklumkan keupayaan dan kapasiti mereka yang boleh bertindak sebagai pengimport bagi barangan tertentu atau untuk menjadi pembungkus malah mendakwa boleh menjadi pengedar.

“Setelah mendengar semua pembentangan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia jawatankuasa merasakan mereka perlu diberi peluang dan mereka telah memberikan anggaran harga beberapa produk tertentu yang tidak dapat saya perincikan,” ujarnya.

Katanya, mereka juga telah menyakinkan kita untuk membantu menjual pelbagai barangan keperluan antaranya seperti telur, minyak masak, gula, tepung dan beras dengan tawaran harga yang murah. – SM

(Visited 379 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button