Nasional

Wanita warga Malaysia antara 4 lagi kes baru koronovirus di Singapura

KEMENTERIAN Kesihatan (MOH) Singapura hari ini mengesahkan empat lagi kes positif jangkitan koronavirus atau COVID-19 di republik itu, seorang daripadanya adalah wanita warga Malaysia.

Perkembangan terbaru ini menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini 81 orang.

MOH dalam kenyataan berkata wanita rakyat Malaysia berusia 35 tahun itu pemegang Pas Kerja Singapura dan tiada rekod perjalanan ke China baru-baru ini.

Wanita itu adalah ahli keluarga Kes 72, seorang lelaki warga China berusia 40 tahun, merupakan pemegang Pas Kerja Singapura, juga tiada sejarah perjalanan ke China baru-baru ini.

MOH berkata warga Malaysia itu yang kini ditempatkan di bilik isolasi di Pusat Kebangsaan Penyakit Berjangkit (NCID), dilaporkan mendapat gejala itu pada 12 Feb.

Sebaik dikenal pasti sebagai kontak rapat Kes 72, wanita itu telah dikuarantin di rumahnya dari 15 Feb, menurut kementerian itu.

Dia dihantar ke NCID menaiki ambulans dua hari kemudian dan keputusan ujian seterusnya mengesahkan dia dijangkiti COVID-19 pada hari yang sama.

Menurut MOH, tiga kes baharu yang lain, mempunyai kaitan dengan gereja The Grace Assembly of God, menjadikan jumlah kes kepada 21.

Sehingga kini, MOH berkata 29 kes pulih sepenuhnya daripada jangkitan itu dan telah keluar hospital.

Daripada 52 kes yang disahkan itu yang masih ditempatkan di hospital, kebanyakannya dalam keadaan stabil atau bertambah baik manakala empat dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi, katanya.

Sehingga tengah hari, MOH telah mengenal pasti 2,486 kontak rapat, daripada itu 1,160 dikuarantin dan 1,326 telah selesai menjalani kuarantin. – BERNAMA

(Visited 179 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button