Nasional

Papa kedana kalau kena kompaun langgar sekatan PKP

Individu yang melanggar sekatan perintah kawalan pergerakan (PKP) berdepan hukuman lebih tegas bermula 11 Mac, di bawah pindaan Ordinan Darurat bagi mengekang penularan Covid-19.

Antara lain kompaun untuk kesalahan dinaikkan dari RM1,000 kepada RM10,000 untuk individu dan RM50,000 bagi syarikat.

Pada masa ini, individu dan syarikat yang melakukan kesalahan itu hanya dikenakan kompaun maksimum RM1,000.

Sekiranya kes dibawa ke mahkamah, sesuatu kesalahan boleh dikenakan denda hingga RM100,000, penjara sehingga tujuh tahun, atau kedua-duanya.

Hukuman lebih berat itu terkandung dalam pindaan terhadap Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) diwartakan semalam, berdasarkan kuasa darurat yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.


Ketika ini, seseorang yang disabitkan di bawah Akta 342 boleh dikenakan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan pertama. Kesalahan berikutnya boleh dikenakan hukuman penjara hingga lima tahun, denda, atau kedua-duanya.

Sementara itu, ordinan sama menetapkan mana-mana individu yang dijangkiti atau dipercayai dijangkiti atau mana-mana kontak rapat, boleh diperintah memakai peranti pengesanan.

Peranti pengesanan itu termasuklah gelang tangan atau apa-apa peranti yang diberikan pegawai yang diberi kuasa, manakala sebarang perbuatan memusnah, merosak, menghilang atau mengubahnya, menjadi satu kesalahan.

Kesalahan lain di bawah Akta 342 termasuk tidak mematuhi arahan Ketua Pengarah kesihatan untuk mengambil langkah-langkah bagi mencegah penyebaran penyakit berjangkit, atau dengan sengaja mendedahkan orang lain kepada penyakit berkenaan.

Peraturan di bawah Akta ini menetapkan bahawa apa-apa perbuatan yang melanggar peraturan tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000, penjara hingga enam bulan, atau kedua-duanya.

Antara kesalahan yang boleh dikenakan kompaun ialah tidak memakai pelitup muka, gagal mematuhi penjarakan fizikal, gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan, rentas daerah/negeri tanpa kebenaran dan aktiviti pusat hiburan.

Selain itu, pindaan berkenaan membolehkan pegawai diberikan “kuasa penyiasatan”, yang bermaksud tidak diperlukan waran bagi pegawai membuat tangkapan.

Darurat diumumkan pada 11 Januari lalu tetapi hanya diisytiharkan pada hari berikutnya.

Langkah itu diambil ketika berlaku peningkatan kes Covid-19, walaupun pengkritik berpendapat pengisytiharan darurat tidak perlu bagi menangani Covid-19 dan hanya bertujuan mengekalkan kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata pengiystiharan darurat membolehkan kerajaan mengenakan hukuman lebih tegas terhadap mereka yang melanggar PKP.

(Visited 167 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button